Oleh Fadzli Ramli
KOTA KINABALU, 6 Julai (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 akan terbubar secara sendiri pada 11 Nov ini sekiranya DUN tidak dibubarkan sebelum tarikh itu, kata Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya.
Kadzim berkata tempoh lima tahun DUN Sabah dikira bermula dari tarikh persidangan pertama DUN Sabah Ke-16 iaitu pada 12 Nov 2020, justeru tempoh tamat penggal lima tahun itu adalah pada 11 Nov ini.
Beliau berkata berlaku salah faham dalam kalangan masyarakat mengenai tarikh DUN Sabah akan terbubar secara sendiri dengan menganggap permulaan tempoh lima tahun DUN Sabah adalah pada tarikh mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 pada 26 Sept 2020, atau 22 Sept 2020 untuk undian awal.
“Ada orang luar salah faham tentang tarikh (tempoh) pembubaran Dewan Undangan Negeri (bubar secara sendiri). Ada yang kira bermula dari tarikh mengundi, ada juga orang fikir dari tarikh ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) angkat sumpah (9 Okt 2020).
"(Sebenarnya) ia (tempoh lima tahun DUN Sabah) bukan (dikira) dari tarikh bila mengundi, keputusan (PRN16) keluar, dan bukan juga tarikh dari ADUN angkat sumpah. Ia dikira dari tarikh sidang pertama penggal dewan yang baharu itu," katanya kepada Bernama.
Kadzim berkata sekiranya DUN terbubar dengan sendiri pada 11 Nov ini, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan diberitahu secara rasmi oleh pihaknya mengenai perkara tersebut.
“Pilihan raya untuk negeri ini kemudian perlu dibuat dalam tempoh 60 hari dari tarikh DUN bubar itu,” katanya.
Mengulas tentang persidangan DUN Sabah yang akan berlangsung dua hari bermula esok, beliau berkata empat rang undang-undang (RUU) akan dibentangkan melibatkan pembekalan tambahan, cukai jualan negeri, hutan, dan perubahan iklim serta tadbir urus karbon.
“Kita setahun sekurang-kuranya ada tiga persidangan, jadi (kali ini) ‘hype’ sikit kerana kalau bubar (DUN) selepas ini ia jadi sidang terakhir penggal ini. Kalau belum bubar akan menjadi sidang ketiga tahun ini. Tiada yang luar biasa kali ini, hanya sidang seperti biasa,” katanya.
Dalam pada itu, Kadzim berkata penyiaran sidang DUN Sabah secara langsung di media sosial antaranya Youtube adalah bagi membolehkan rakyat mengikuti perbahasan terutama melibatkan dasar negeri tanpa perlu hadir ke dewan.
"Saya rasa lebih baik dapat tengok secara langsung sebab tumpuan kita hanya kepada perbahasan...memang banyak kebaikannya apabila ia diadakan secara langsung," katanya.
Beliau berkata penyiaran secara langsung itu juga dapat mendorong ADUN untuk menjaga tingkah laku dan tertib semasa persidangan, selain memastikan perbahasan berkualiti kerana menyedari mereka diperhatikan rakyat.
"Kalau saya pun sebagai ADUN, saya akan menjaga tertib sebab saya tahu saya diikuti secara langsung oleh orang ramai. Baiknya ia (siaran) akan lebih menyeluruh sebab tidak semua yang dapat datang ke dewan," ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa kawasan DUN Sabah telah diwartakan sebagai kawasan keselamatan, justeru terdapat had tertentu yang perlu dipatuhi di sekitar dewan itu bagi mengelakkan ketidakselesaan untuk urusan melibatkan negeri ini.
"Bukannya kita halang orang datang tapi kita tidak mahu dewan ini menjadi macam satu acara di pusat konvensyen, semua orang berpusu-pusu. Memandangkan kawasan dewan ini sudah pun diwartakan sebagai tempat dan kawasan keselamatan, jadi ada hadnya, patuhilah," katanya.
Ditanya tentang penggunaan teknologi kecerdasan buatan atau AI, Kadzim menjelaskan pihaknya pada masa ini masih belum dapat menggunakan sepenuhnya teknologi itu kerana berdepan beberapa kekangan antaranya dari segi terjemahan bahasa.
“Jika suatu hari nanti AI ini boleh digunakan untuk persidangan, kita boleh gunakan untuk membantu tugas kita antaranya dalam menyediakan hansard dan sebagainya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial