KUALA TERENGGANU, 4 Julai (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengeluarkan empat saman terhadap pemandu dan penumpang bas ekspres kerana tidak memakai tali pinggang keledar dalam Ops Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) dan Kenderaan Perkhidmatan Barangan (KPB) yang dilaksanakan sejak 1 Julai lepas.
Pengarahnya Zamri Samion berkata operasi khas tersebut susulan arahan kerajaan mewajibkan pemakaian tali pinggang terhadap pemandu dan penumpang bas ekspres dan persiaran mulai 1 Julai.
"Sebanyak 85 bas ekspres dan persiaran diperiksa dalam operasi yang dijalankan selama tiga hari di seluruh negeri.
"Kita dapati tahap kepatuhan sangat baik apabila hanya empat saman dikeluarkan termasuk satu kepada pemandu bas dan tiga penumpang bas ekspres," katanya pada Ops KPA/KPB di Chendering di sini malam tadi.
Zamri berkata bagi meningkatkan kesedaran dan pematuhan, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pengusaha bas ekspres dan bas persiaran pada minggu depan untuk tujuan advokasi secara lebih intensif.
Beliau berkata sebarang aduan berkaitan isu pemakaian tali pinggang keledar boleh dibuat melalui aplikasi MyJPJ atau emel ke aduantrafik@jpj.gov.my.
"Kita akan jumpa dengan pengusaha bas untuk memberi penerangan lebih mendalam bagi meningkatkan kesedaran bukan sahaja dalam kalangan pemandu malah penumpang.
"JPJ tidak akan berkompromi dengan sebarang isu berkait keselamatan dan tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang gagal menunjukkan kepatuhan terhadap peraturan serta undang-undang," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial