SUKAN

Pemain Sabah FC perlu fokus sepenuhnya berdepan JDT - Kim Swee

27/10/2021 10:09 PM

KOTA KINABALU, 27 Okt -- Pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee mahu anak buahnya memberi sepenuh fokus dan beraksi dengan penuh yakin bagi mengimbangi kekuatan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Piala Malaysia 2021 di Stadium Likas di sini, Jumaat ini. 

Bekas jurulatih kebangsaan itu mengakui Sabah FC bakal berdepan cabaran cukup getir apabila berdepan JDT yang juga merupakan juara bertahan Piala Malaysia.

"Ini perlawanan pertama saya mengendalikan Sabah FC selepas dilantik secara rasmi sebagai Ketua Jurulatih bermula 1 Okt lepas dan saya berharap persiapan rapi selama sebulan ini dapat diterjemahkan oleh semua pemain dengan keputusan positif.

"Saya mengakui pasukan kita mempunyai banyak kelemahan, tetapi kita juga ada kekuatan… kelemahan paling ketara apabila dibolosi begitu banyak gol dalam saingan Liga Super sebelum ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan skuad The Rhinos di padang sintetik Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini.

Kim Swee menuntut barisan pemain Sabah FC tidak mengulangi kesilapan sama itu apabila bertemu JDT kerana banyak aspek sudah diperbaiki sepanjang tempoh rehat sebulan ini.

"Kita perlu yakin bermain di laman sendiri… ini satu kelebihan yang kita ada di samping sokongan daripada penyokong selepas dibenarkan hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Piala Malaysia bermula Jumaat ini," katanya.

Sabah FC mencatat keputusan seri dalam dua perlawanan Piala Malaysia Kumpulan D sebelum ini, 1-1 menentang PJ City dan 2-2 bertemu Kelantan FC.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan