IPOH, 17 Jun (Bernama) -- Siapa sangka alunan ayat suci al-Quran yang pernah disangka sebagai sebuah lagu ketika berada di sekolah berasrama, menjadi titik permulaan Osman Hamzah mengenal Islam sehingga berjaya menghafaz 30 juzuk dan menerima Anugerah Khas sempena Maal Hijrah Negeri Perak tahun ini.
Beliau yang juga merupakan Orang Asli suku Temiar berusia 25 tahun itu, berkongsi detik pertama mendengar bacaan al-Quran yang dipasang menerusi sistem audio di surau asrama, telah menimbulkan perasaan ingin tahun apakah irama yang didengar serta maksud yang tersirat di sebalik alunan tersebut.
“Pada masa itu saya tidak tahu itu ayat al-Quran, saya dengar macam lagu sahaja dan tertanya-tanya lagu apa yang dinyanyikan dan siapa yang menyanyikannya dan daripada situ saya mula bertanya kepada kawan-kawan Islam dan ustaz untuk mengetahui lebih lanjut, sebelum masuk Islam.
“Mula daripada situlah saya mendalami al-Quran dan mula belajar menghafal sewaktu bersekolah di tahfiz, sehingga berjaya menghafal 30 juzuk ketika berusia 23 sewaktu belajar di Darul Quran,” katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Kemuncak Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak 1448 Hijrah di Dewan Konvensyen Casuarina, Meru Raya, di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, beliau berkata kecintaan kepada mengenal Islam tidak terhenti di situ, apabila dia seringkali menghabiskan masanya di asrama bersama rakan-rakan beragama Islam yang secara tidak langsung memperkenalkannya kepada kehidupan seorang Muslim.
“Ramai kawan saya beragama Islam, saya lihat cara hidup mereka, aktiviti mereka dan saya rasa teruja untuk tahu lebih lanjut, dari situlah saya mengambil langkah untuk mengenali Islam sendiri.
“Selepas memeluk Islam, saya juga aktif menyertai pelbagai program dakwah bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk turun ke kampung-kampung Orang Asli, bagi menyampaikan bantuan dan berkongsi kefahaman mengenai ajaran Islam,” katanya yang kini merupakan pelajar Ijazah al-Quran dan Sunnah di Universiti Sultan Azlan Shah.
Anak ketujuh daripada lapan beradik itu berkata Anugerah Khas yang disampaikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, bukan sekadar satu pengiktirafan, tetapi pemangkin untuk terus berbakti kepada masyarakat dan menyebarkan kefahaman mengenai Islam.
Dalam majlis sama Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan anugerah lain iaitu Anugerah Tokoh Maal Hijrah, Anugerah Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Anugerah Siti Khadijah, Anugerah Saidina Ali dan Anugerah Ikon Asnaf.
Sementara itu, penerima Anugerah Ikon Asnaf dianugerahkan kepada orang kurang upaya (OKU) penglihatan Khairruddin Mazli, 35, yang tidak menyangka akan menerima anugerah tersebut, kerana mengetahui terdapat enam lagi calon lain yang disenaraikan bagi anugerah itu.
“Alhamdulillah saya terima kasih kepada pihak MAIPk (Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dengan JAIPk (Jabatan Agama Islam Perak), kerana memilih saya untuk menerima anugerah Ikon Asnaf ini, saya rasa bangga dan terima kasih kerana mereka pilih saya.
“Perancangan saya selepas ini nak kalau boleh saya nak terus kembangkan lagi perniagaan urutan ini dan juga nak bawa bersama rakan-rakan OKU lain untuk terus dalam bidang refleksologi bersama-sama buat dan sama-sama dapat hasil,” katanya.
Beliau yang juga merupakan bekas atlet bola sepak negara bagi Bola Sepak Orang Buta Malaysia, berkata cabaran dalam menjalankan perniagaan mestilah seseorang itu tidak seharusnya terlalu bergantung kepada bantuan orang lain, sebaliknya perlu berusaha sendiri untuk mencari rezeki dan membina kehidupan yang lebih baik.
“Bagi saya tak kisah sama ada daripada golongan OKU ataupun bukan OKU selagi kita boleh berusaha kita boleh bekerja untuk mencari duit kita usaha sendiri, kita buat apa sahaja yang kita boleh buat asalkan benda itu boleh datangkan pendapatan tak kisah banyak ataupun sedikit,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial