EKONOMI

Go ESG ASEAN 2021 sokong ekonomi hijau untuk percepatkan pemulihan di ASEAN

03/08/2021 08:04 PM

KUALA LUMPUR, 3 Ogos  -- Sidang kemuncak Go ESG ASEAN 2021, persidangan maya dua hari anjuran UN Global Compact Network Malaysia dan Brunei (UNGCMY & B) akan berlangsung pada 24 dan 25 November, 2021.

Matlamat persidangan ini adalah untuk membangkitkan kesedaran, membolehkan aktiviti rangkaian, mengenal pasti amalan terbaik dan mempamerkan pendekatan inovatif dalam pelaburan kelestarian.

Pengarah Eksekutif UNGCMY & B, Feroze Nadar dalam satu kenyataan berkata acara itu memberi peluang kepada perniagaan di ASEAN untuk membuka jalan baharu menuju masa depan lestari dengan mempercepatkan inovasi dan membolehkan ekosistem pembiayaan lestari yang kondusif.

“Hala tuju ASEAN ke arah masa depan yang lestari tidak sama seperti kawasan lain di dunia, memandangkan faktor pembangunan sosial dan ekonomi sangat berbeza,” katanya.

Persidangan tahun ini bertemakan "Achieving a sustainable ASEAN: Raising Business Sustainable Development Goals (SDG) Ambitions and Mainstreaming Sustainable Financing" (Mencapai Kelestarian di ASEAN: Mempertingkatkan Hasrat Perniagaan dan Mengentengahkan Pembiayaan Lestari) akan menawarkan pemahaman yang lebih mendalam dan mempamerkan tindakan amalan terbaik daripada pemimpin ASEAN dan global.

Lebih 2,000 peserta dari seluruh rantau ini dijangka menghadiri GO ESG ASEAN 2021, ia akan menampilkan lebih daripada 30 penceramah dan panelis global dan serantau melalui platform maya yang menarik dan interaktif.

Persidangan ini juga akan melibatkan bahagian ASEAN bagi siri Forum Pelaburan SDG PBB yang mempromosikan platform ‘Financing the Green’, yang bertujuan untuk berkongsi pelbagai peluang pembiayaan lestari di rantau ini untuk mempercepatkan peralihan kepada ekonomi hijau.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan