PUTATAN, 18 Jun (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor meminta semua pihak memberi ruang kepada proses undang-undang berhubung kes rasuah lesen perlombongan mineral yang didakwa melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Sabah komited untuk memastikan proses undang-undang berjalan lancar dan memberikan ruang kepada pihak berwajib terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan.
"Kerajaan negeri komited untuk memastikan bahawa kita menghormati bukan sahaja undang-undang tetapi juga mewujudkan integriti dalam kalangan anggota kerajaan dan penjawat awam," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran di Dewan Seri Putatan di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki Dua berkata dua ADUN Sabah dan seorang lagi individu dijangka dihadapkan ke mahkamah bulan ini berhubung skandal rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral di negeri itu.
Hajiji juga berkata kes itu tidak akan memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan negeri.
"Biar mahkamah memutuskan sama ada mereka bersalah atau tidak. Ada juga ruang untuk mereka membersihkan nama mereka," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial