KOTA KINABALU, 18 Jun (Bernama) -- Penggunaan inovasi digital seperti teknologi kecerdasan buatan (AI) dan blok rantai dalam proses kerja serta sektor percukaian, e-dagang dan pelaporan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) berpotensi besar meningkatkan kualiti audit dan memudahkan pematuhan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata bagaimanapun penggunaan teknologi itu tanpa kawalan rapi dikhuatiri membuka ruang baharu kepada rasuah, penipuan dan penyalahgunaan amanah.
"Dari segi tadbir urus, jika ada sistem yang baik tetapi pihak yang menguruskannya tidak berintegriti dan berakauntabiliti, maka sistem itu boleh disalahgunakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Teknologi, Pengurusan dan Kelestarian (ICTMS 2025) anjuran Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI), Universiti Teknologi MARA di sini hari ini.
Ketika ditemui pemberita, Azam berkata SPRM kini giat membangunkan sistem baharu untuk memastikan kerja-kerja penguatkuasaan pencegahan rasuah dapat dijalankan dengan lebih efisien dan berimpak tinggi.
Beliau berkata penggunaan teknologi moden telah membantu SPRM mempercepat proses siasatan dan perisikan dengan kebanyakan kes kini dapat diselesaikan dalam tempoh tiga hingga enam bulan berbanding setahun sebelum ini.
Sementara itu, Azam berkata suruhanjaya itu juga sedang berbincang dengan pihak Jabatan Peguam Negara untuk melaksanakan Perjanjian Pendakwaan Tertunda (DPA) yang memberi tumpuan kepada pemulihan wang yang besar untuk dipulangkan kepada negara.
"Pendekatan baharu ini melibatkan kes-kes yang akan ditetapkan polisinya dengan memberi tumpuan bukan sahaja kepada pendakwaan tetapi juga pemulihan wang yang melibatkan kes-kes berprofil tinggi," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial