LANGKAWI, 19 Jun (Bernama) -- Malaysia mencadangkan supaya Institut ASEAN diwujudkan bagi mengumpul kepakaran dalam pelbagai bidang melibatkan negara anggota organisasi itu.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata cadangan berkenaan merupakan antara yang dibincangkan semasa Sidang Meja Bulat Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN di sini, hari ini.
"Walaupun negara tertentu telah menjalankan kajian di peringkat universiti masing-masing namun tiada sebuah institut yang bersifat lebih komprehensif bagi semua negara anggota ASEAN," katanya pada sidang media selepas sidang meja bulat itu, di sini, hari ini.
Beliau berkata Malaysia menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah kepada Institut ASEAN tersebut memandangkan negara ini mempunyai kepakaran antaranya menerusi Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (IKMAS).
Selain itu, katanya sidang berkenaan turut membincangkan mengenai mobiliti pelajar dan ahli akademik di rantau ini termasuk program pertukaran yang memberi peluang kepada tenaga pengajar dari luar mengajar di institusi pendidikan di Malaysia.
"Selain itu kita juga setuju supaya sebuah badan yang mengendalikan urusan berkaitan biasiswa iaitu ASEAN-GEMS. Platform ini akan dimanfaatkan untuk mencari sumber kewangan dalam kalangan negara anggota ASEAN bagi menyediakan biasiswa," katanya.
Platform ASEAN Global Exchange for Mobility and Scholarship (ASEAN GEMS) adalah sebuah platform sehenti untuk informasi mengenai tawaran biasiswa dan program mobiliti yang disediakan di seluruh rantau Asia Tenggara yang baharu dilancarkan malam ini.
Ia antaranya akan memberi akses peluang dan tawaran biasiswa untuk semua pelajar ASEAN di samping menyokong integrasi serantau iaitu menggalakkan mobiliti belia dan pertukaran akademik rentas sempadan negara.
Menurut Zambry perkara lain yang turut dibincangkan termasuk cadangan mewujudkan rangkaian dan platform kerjasama antara institusi pendidikan tinggi ASEAN serta memastikan semua hasil perbincangan meja bulat itu diangkat ke Mesyuarat Ketua-Ketua Negara ASEAN pada Oktober nanti.
Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran sidang meja bulat kali ini berjaya menghimpunkan semua menteri, wakil dan pegawai kanan pendidikan dari negara anggota serta menerima maklum balas positif daripada peserta serantau dan antarabangsa.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pendidikan Tinggi (CHED) Filipina Dr Shirley Castañeda Agrupis memuji usaha Malaysia menganjurkan dialog tersebut menyifatkannya ia sebagai platform berharga untuk menanda aras amalan terbaik dan menangani cabaran serantau.
Beliau menekankan keperluan untuk menyelaraskan agenda penyelidikan dan mengiktiraf kelayakan akademik di seluruh negara anggota ASEAN.
"Kami mengimpikan pendidikan tanpa sempadan namun tanpa pengiktirafan bersama kurikulum, mobiliti pelajar dan fakulti kekal terhad," katanya.
Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Dunia Islam (ISESCO) Dr Salim Mohammed Al-Malik memuji komitmen Malaysia terhadap pendidikan dan inovasi selepas beberapa siri penglibatan peringkat tinggi ketika menghadiri Persidangan Meja Bulat Menteri Pendidikan dan Pendidikan Tinggi ASEAN 2025.
Dr Al-Malik mengetengahkan peranan penting ISESCO dalam menyokong 53 negara anggotanya termasuk Malaysia sebagai ahli pengasas dalam memajukan pendidikan, sains dan budaya, khususnya dalam kalangan negara membangun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial