AM

Kerajaan Negeri Bantu Bina Semula Rumah Mangsa Kebakaran Di Putatan

18/06/2025 06:53 PM

PUTATAN, 18 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri akan membina semula rumah yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Petagas dan Bukit Vor, menerusi Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di tapak asal kediaman masing-masing.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan bantuan berjumlah antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi rumah yang mengalami kerosakan separa akibat kebakaran.

"Kerajaan negeri amat prihatin dan memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara terutama ketika berdepan musibah," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Sri Putatan hari ini.

Dalam pada itu, katanya setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat akan menerima pelbagai bentuk bantuan termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI), Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) yang masing-masing menyalurkan RM1,000 dan bakul makanan, serta RM300 daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.

Kebakaran di Kampung Petagas pada Isnin lepas yang berlaku kira-kira pukul 4 petang membabitkan 20 KIR melibatkan 46 mangsa, manakala kejadian di Bukit Vor pada Selasa mengakibatkan lapan KIR kehilangan tempat tinggal melibatkan 28 mangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan