ISTANBUL, 16 Sept (Bernama-Anadolu) -- Para pemimpin pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha pada Isnin memberi amaran bahawa serangan Israel terhadap Qatar membawa akibat berbahaya kepada rantau itu, menggesa tindakan kolektif untuk menentang percubaan Israel untuk mengenakan realiti baharu di Timur Tengah, lapor Anadolu Ajansi.
Kenyataan akhir yang diterbitkan agensi berita rasmi Qatar (QNA) mengecam serangan ke atas Doha dan menyatakan solidariti penuh dengan Qatar.
Sidang kemuncak itu menegaskan pencerobohan Israel “menjejaskan sebarang peluang mencapai keamanan di rantau ini.”
Kenyataan itu menekankan keperluan untuk “berdiri menentang rancangan Israel mengenakan realiti baharu di rantau ini,” sambil memberi amaran bahawa usaha sedemikian merupakan “ancaman langsung terhadap keselamatan serantau dan antarabangsa.”
Para pemimpin sidang kemuncak menegaskan bahawa “keamanan yang adil, menyeluruh dan berkekalan di Timur Tengah tidak akan dicapai dengan mengetepikan isu Palestin atau menafikan hak rakyat Palestin, juga bukan melalui keganasan atau menyasarkan pengantara, tetapi melalui komitmen kepada Inisiatif Keamanan Arab serta resolusi sah antarabangsa yang berkaitan.”
Mereka menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB, untuk menunaikan tanggungjawab undang-undang dan moral bagi menamatkan pendudukan Israel serta menetapkan jadual masa mengikat untuk penamatannya.
Kenyataan itu turut menyatakan sokongan terhadap usaha pengantaraan yang diketuai Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat untuk menghentikan serangan ke atas Gaza.
Ia juga mengalu-alukan resolusi Majlis Liga Arab di peringkat menteri berhubung visi serantau mengenai keselamatan dan kerjasama yang menekankan prinsip keselamatan kolektif, nasib bersama dan konfrontasi bersama terhadap ancaman bersama.
Sidang kemuncak memberi amaran tentang “akibat buruk” sebarang langkah Israel untuk mengilhak sebahagian wilayah Palestin yang diduduki, dengan menyifatkan tindakan itu sebagai “pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB, serta serangan terhadap hak sejarah dan undang-undang rakyat Palestin.”
Sidang itu turut menyeru semua negara “mengambil langkah undang-undang dan politik yang berkesan untuk menghalang Israel daripada meneruskan tindakannya terhadap rakyat Palestin.”
Langkah itu termasuk “menyokong usaha menamatkan kekebalan Israel, mengenakan sekatan, menggantung pemindahan senjata dan bahan dwiguna, menilai semula hubungan diplomatik dan ekonomi, serta mengambil tindakan undang-undang.”
Para pemimpin juga menggesa negara anggota OIC untuk “menilai semula keanggotaan Israel di PBB berikutan pelanggaran jelas terhadap Piagam dan keingkaran berterusan terhadap resolusi PBB, dengan kemungkinan menyelaras usaha untuk menggantung keanggotaannya.”
Kenyataan itu turut menugaskan “negara anggota OIC yang merupakan pihak kepada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) supaya menyokong penguatkuasaan waran tangkap yang dikeluarkan pada 21 Nov 2024 terhadap mereka yang dituduh melakukan jenayah terhadap rakyat Palestin.”
Sidang itu juga menggesa usaha diplomatik, politik dan undang-undang bagi memastikan Israel mematuhi langkah sementara mengikat yang diperintahkan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 26 Jan 2024 dalam kes genosid Gaza.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial