KOTA BHARU, 16 Sept (Bernama) -- Perarakan dua gajah jinak, Sanum dan Chery mencuri perhatian orang ramai sempena sambutan Hari Malaysia 2025 yang berlangsung meriah berhampiran Istana Balai Besar di sini hari ini.
Lebih 500 pengunjung dari seluruh negeri menyertai perarakan sejauh 1.2 kilometer itu, ada yang tampil lengkap berbusana tradisional dengan tanjak, kain pelikat dan sarong menambahkan lagi seri suasana.
Penyelaras program yang juga Pegawai Protokol Pejabat Sultan Kelantan Mohamed Safaruddin Ismail berkata pemilihan gajah sebagai simbolik mengembalikan nostalgia zaman silam apabila haiwan itu digunakan dalam istiadat penting istana.
“Pemilihan gajah itu sempena mengimbau sejarah apabila setiap peristiwa penting di Istana Balai Besar suatu ketika dahulu diarak menggunakan gajah.
“Sebagai contoh, pada 1845 semasa pemerintahan Sultan Muhammad II, istiadat mengarak surat sejabat daripada Raja Siam turut dilakukan dengan perarakan gajah dari Pengkalan Raja Muda di Penambang ke Istana Balai Besar,” katanya kepada pemberita di parkir Masjid Jamek Muhammadi di sini.
Beliau berkata dua ekor gajah dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah itu dibawa dengan kerjasama Jabatan Perhilitan Malaysia dan Jabatan Perhilitan Negeri Kelantan.
“Selepas perarakan, kedua-dua gajah ini ditempatkan di pekarangan Istana Balai Besar hingga petang bagi memberi peluang orang ramai swafoto dan melihatnya dengan lebih dekat,” katanya.
Seorang pengunjung Nik Rashidee Nik Hussein, 68, berkata perarakan gajah itu menyerlahkan identiti Kelantan yang kaya dengan warisan budaya.
“Perarakan ini bukan sahaja menarik, tetapi menggambarkan keunikan negeri Kelantan yang sinonim dengan nilai tradisional dan kebudayaan tempatan sekali gus memupuk keharmonian dalam kalangan pengunjung,” katanya.
Bagi Noorsofea Qistina Abdul Rahman, 35, pengalaman menyaksikan perarakan gajah begitu mengujakan kerana jarang diadakan di negeri ini.
“Saya mengambil peluang melihat perarakan ini bersama anak saya, Thaqif Alaudin yang berusia tiga tahun. Ia satu pengalaman baharu dan cukup menarik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial