AM

ABIM Sokong Ketegasan PM, Sifatkan Serangan Israel Cabul Kedaulatan Qatar

16/09/2025 11:31 AM

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menzahirkan sokongan penuh kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar atas ketegasan beliau membawa suara negara dalam Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Doha, Qatar semalam.

Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata serangan udara Israel ke atas Doha merupakan pencabulan terang-terangan terhadap kedaulatan Qatar, pelanggaran undang-undang antarabangsa serta provokasi berbahaya yang mengancam kestabilan dan keamanan dunia. 

"Tindakan ini adalah bukti nyata bahawa Israel sedang menggerakkan agenda Israel Raya yang mahu meluaskan pengaruh ketenteraan, mencabul kedaulatan negara-negara serantau serta merobohkan segala usaha damai yang digerakkan oleh masyarakat antarabangsa," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata tragedi kemanusiaan di Gaza semakin meruncing dengan rejim Zionis kini secara terbuka menolak kewujudan negara Palestin dan solusi dua negara, meneruskan genosid, mengekalkan dasar aparteid serta menafikan hak rakyat Palestin.

Menegaskan bahawa kecaman melalui kenyataan ketua-ketua negara semata-mata tidak lagi mencukupi, Ahmad Fahmi berkata dunia antarabangsa mesti berani mencontohi Malaysia dengan mengambil langkah konkrit termasuk memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan rejim Zionis. 

"ABIM turut menggesa agar negara-negara Arab dan dunia Islam menarik balik sebarang bentuk normalisasi yang pernah dilakukan terhadap Israel kerana langkah itu hanya memberi legitimasi kepada kezaliman serta menguatkan lagi agenda Israel Raya," katanya.

Mengenai misi Global Sumud Flotilla yang turut disertai rakyat Malaysia, Ahmad Fahmi berkata kerajaan  wajar membantu sebaik mungkin termasuk menubuhkan pasukan pemantauan dan sokongan krisis di Wisma Putra bagi memantau keselamatan peserta sepanjang perjalanan serta bersiap siaga memberikan bantuan undang-undang sekiranya mereka ditahan oleh rejim Zionis. 

Ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam, Perdana Menteri mendesak hukuman tegas dikenakan terhadap Israel selain mengecam sekeras-kerasnya serangan udara rejim itu ke atas Doha serta pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza.

Anwar berkata langkah tegas dan muktamad perlu diambil kerana kecaman semata-mata tidak akan mampu menghentikan bedilan peluru berpandu selain kenyataan demi kenyataan tidak akan membebaskan Palestin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan