KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Sewa Beli (Pindaan) 2025 yang memansuhkan penggunaan kadar sama rata dan kaedah Peraturan 78 bagi pinjaman sewa beli kadar tetap.
RUU itu diluluskan dengan lebih banyak suara bersetuju selepas dibahaskan 20 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali ketika menggulung perbahasan menjelaskan pemansuhan sistem kadar rata dan Peraturan 78 dibuat kerana ia dianggap tidak adil serta membebankan peminjam.
Sebagai gantinya, katanya, kaedah kadar faedah efektif dan pengurangan baki akan diperkenalkan bagi memastikan pengiraan ansuran bulanan lebih adil serta telus.
“Rasional pindaan ini ialah untuk memastikan caj faedah tidak memudaratkan peminjam, khususnya mereka yang membuat penyelesaian awal pinjaman,” katanya di Dewan Rakyat.
Armizan berkata penggunaan kadar faedah efektif dapat meningkatkan ketelusan dalam penilaian dan pemasaran pinjaman sewa beli, sekali gus membolehkan pengguna membuat perbandingan pakej pinjaman dengan lebih tepat.
Beliau berkata kaedah pengurangan baki pula memastikan kadar faedah hanya dikenakan ke atas baki pinjaman yang belum dijelaskan, berbeza dengan kaedah lama yang lebih menumpukan pembayaran faedah pada peringkat awal pinjaman.
“Pendekatan ini memanfaatkan pengguna dengan membolehkan mereka membandingkan kos sebenar pelbagai produk pinjaman, merancang kewangan dengan lebih baik serta mengenal pasti kos tersembunyi termasuk faedah terkompaun,” katanya.
Terdahulu, ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua, Armizan berkata selain memansuhkan kaedah kadar faedah sama rata dan Peraturan 78, pindaan itu membenarkan penggunaan teknologi semasa dalam pelaksanaan serta pengemaskinian perjanjian sewa beli.
Selain itu, beliau berkata RUU itu mencadangkan pindaan Seksyen 6B berhubung penerimagunaan kaedah baharu bagi pengiraan caj terma, bertujuan mengadakan peruntukan tempoh masa bagi tuan punya memberitahu penyewa mengenai perubahan kepada kewajipan kewangan penyewa berikutan sebarang penyemakan kadar faedah efektif.
Sementara itu, majoriti Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang berbahas menyatakan sokongan terhadap RUU berkenaan yang disifatkan lebih adil dan tidak membebankan peminjam, selain mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan.
Datuk Suhaimi Nasir (BN–Libaran) mencadangkan supaya RUU itu memperkukuh perlindungan pengguna dengan mewajibkan pendedahan kos sebenar pinjaman.
Beliau turut mencadangkan pelaksanaan moratorium automatik ketika krisis, khususnya bagi golongan M40 dan B40 yang terjejas akibat bencana, kehilangan pekerjaan atau krisis kesihatan, serta penubuhan tribunal khas sewa beli digital bagi menyelesaikan pertikaian kecil tanpa keperluan peguam.
Sementara itu, Abdul Latiff Abdul Rahman (PN–Kuala Krai) mencadangkan supaya satu bahagian khas berkaitan sewa beli Islam dimasukkan dalam RUU berkenaan bagi memastikan penyelarasan antara transaksi konvensional dan patuh syariah, sekali gus mengelak pengguna Islam daripada terus terikat dengan sistem bercampur unsur riba.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial