EKONOMI

Kerajaan Persekutuan Lulus RM24.15 Bilion Pinjaman Kepada Kerajaan Negeri Setakat Ogos

08/10/2025 11:12 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan meluluskan pinjaman sebanyak RM24.15 bilion kepada kerajaan negeri sehingga 31 Ogos 2025, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Menerusi jawapan bertulis yang dimuat naik di portal Dewan Rakyat, kementerian itu berkata secara keseluruhannya, pinjaman ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR), bekalan air, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) dan pelbagai. 

Menurut MOF, berdasarkan arah aliran dan pecahan pinjaman, kategori bekalan air merupakan bahagian yang terbesar iaitu merangkumi sebanyak 58.12 peratus diikuti dengan pelbagai (27.61 peratus), PAKR (7.84 peratus) dan PKEN (6.43 peratus).

"Bagi memastikan hutang kerajaan negeri tidak membebankan kedudukan fiskal negara, pemberian pinjaman ini perlu melalui proses yang teratur dan teliti seperti tempoh pinjaman dan kadar yang munasabah dikenakan kepada peminjam dengan mengambil kira kos pembiayaan yang perlu ditanggung oleh kerajaan Persekutuan. 

"Selain itu, pinjaman berkenaan perlu melalui proses ketekunan wajar dari aspek “financial covenants” dan “non financial covenants” dengan mengambil kira kemampuan peminjam untuk membayar balik pinjaman," kata MOF.

Kementerian itu menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai kedudukan semasa arah aliran pinjaman kewangan oleh kerajaan negeri.

Sementara itu, menjawab soalan Chong Chieng Jen (PN-Stampin) mengenai peruntukan perbelanjaan mengurus berjumlah RM335 bilion dan perbelanjaan pembangunan RM88 bilion yang diluluskan di bawah Belanjawan 2025, MOF memaklumkan agihan peruntukan bagi 2025 khusus bagi setiap negeri diringkaskan berdasarkan kluster mengikut wilayah.

Wilayah Selatan menerima sebanyak RM4.8 bilion peruntukan bagi pembangunan dan RM9.6 bilion peruntukan mengurus; Wilayah Utara menerima sebanyak RM7.2 bilion bagi pembangunan dan RM22.6 bilion peruntukan mengurus dan Wilayah Timur menerima RM8.4 bilion bagi pembangunan dan RM19.7 bilion untuk peruntukan mengurus.

Selain itu, Wilayah Tengah menerima RM24.1 bilion bagi pembangunan dan RM17.1 bilion untuk peruntukan mengurus; Wilayah Sabah sebanyak RM6.7 bilion diperuntukkan bagi pembangunan dan RM10.6 bilion untuk peruntukan mengurus dan Wilayah Sarawak memperoleh RM5.9 bilion bagi pembangunan dan RM8.9 bilion untuk peruntukan mengurus.

Dalam pada itu, menjawab soalan berasingan oleh Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan), kementerian memaklumkan kerajaan sedang meneliti hala tuju dan pelaksanaan projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP). 

Ia berkata kerajaan juga sedang meneroka, meneliti dan melaksanakan inisiatif yang bersesuaian untuk jangka masa sederhana dan panjang bagi memastikan keterjaminan bekalan elektrik di Sabah, khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah. 

"Ini termasuk membangunkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) di Lahad Datu, Sabah dengan kapasiti 100 megawatt (MW)/400MWh bertujuan menstabilkan pembekalan elektrik ke grid Pantai Timur Sabah meliputi jajaran Sandakan–Lahad Datu–Tawau," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan