KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Wong Chun Wai, yang dilantik semula sebagai Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi tempoh 1 Sept 2025 hingga 31 Ogos 2027, akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan sumber pendapatan agensi berita itu.
Menghargai kepercayaan diberikan, Wong, 64, berkata sebagai agensi berita rasmi negara, Bernama tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan.
"Bernama, dengan slogan Sumber Berita Diyakini, harus menjadi badan berita terpenting di Malaysia, dan saya amat gembira dengan kepercayaan serta sokongan pihak swasta yang telah menyumbang kepada pendapatan Bernama," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat pelantikan anggota Majlis Penyeliaan dan Lembaga Pengelola Bernama 2025-2027 oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil di Wisma Bernama di sini hari ini.
Majlis itu turut menyaksikan Wong dilantik semula sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola Bernama.
Tokoh Wartawan Negara itu berkata Bernama juga harus meningkatkan sumber beritanya memandangkan kebanyakan organisasi media di Malaysia kini berdepan masalah kekurangan wartawan sekali gus meningkatkan kebergantungan mereka kepada agensi berkenaan untuk mendapatkan kandungan.
"Banyak syarikat berita tidak berkeupayaan, contohnya, untuk menghantar pemberita membuat liputan lawatan Perdana Menteri ke luar negara, jadi satu-satunya sumber ialah Bernama," katanya.
Wong juga menekankan kepentingan literasi dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memudahkan tugasan di bilik berita serta usaha memerangi berita palsu terutamanya di media sosial.
Beliau turut menyeru petugas Bernama agar bersiap sedia menghadapi tempoh yang agak sibuk dalam dua tahun akan datang susulan pelbagai acara besar yang akan berlangsung termasuk beberapa pilihan raya negeri.
Mengulas mengenai pelantikan wakil media elektronik dan digital sebagai anggota Lembaga Pengelola Bernama, selaras dengan pindaan Akta BERNAMA 1967 yang meluaskan keanggotaan lembaga berkenaan meliputi kedua-dua platform, Wong menyifatkan ia sebagai satu detik yang bersejarah bagi agensi itu.
"Platform berita sudah berubah, jadi kita mengalu-alukan kehadiran mereka dan saya percaya mereka mampu menyumbang kepada kemajuan Bernama. Welcome to the club," katanya.
Terdahulu, Ketua Pegawai Media Sarawak Media Group Sdn Bhd Mohamad Sardon Zainal dan Pengarah Urusan Free Malaysia Today Media Azeem Abu Bakar diumum sebagai anggota Lembaga Pengelola Bernama bagi tempoh 1 Sept 2025 hingga 31 Ogos 2027.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial