AM

Fahmi Harap Majlis Penyeliaan, Lembaga Pengelola Bernama Pacu Reformasi Landskap Media

08/10/2025 04:25 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berharap pelantikan baharu anggota Majlis Penyeliaan dan Lembaga Pengelola Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dapat memacu reformasi landskap media negara serta memperkukuh sinergi komunikasi kerajaan.

Beliau berkata perkara itu selaras dengan kerangka Malaysia MADANI serta visi Kementerian Komunikasi untuk memperkasa infrastruktur digital dan komunikasi sosial bagi penyampaian maklumat yang lebih berkesan.

“Trend dan pola dalam kalangan pembaca yang telah berubah dan ini memaksa kita untuk mencari sama ada cara penyampaian baharu, mod-mod komunikasi lebih rancak dan dinamik serta cocok dengan golongan pembaca, Gen Z, Gen Alpha dan seterusnya.

“Itulah sebab saya lihat dalam tempoh setahun dua tahun belakangan, terutama untuk Bernama sebagai sebuah organisasi yang harus mandiri, harus cekal, istiqamah dan juga mampan, banyak perubahan yang perlu kita lalui dan kita ubah suai.

“Rakyat hanya menaruh kepercayaan yang begitu tinggi terhadap organisasi yang bernama Bernama, dan kita tidak ada ruang untuk melakukan kesilapan dalam menyampaikan maklumat,” katanya ketika berucap sempena Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Anggota Majlis Penyeliaan dan Lembaga Pengelola agensi berita itu di Wisma Bernama hari ini. 

 Bagaimanapun, Fahmi turut mengingatkan bahawa sebarang perubahan yang dilaksana tidak boleh menjejaskan kualiti, integriti dan etika kewartawanan yang menjadi teras Bernama sejak sekian lama.

Beliau juga berharap Bernama akan terus mengambil langkah proaktif dalam memahami isu-isu dihadapi rakyat di seluruh negara dan menghasilkan kandungan berita yang tepat, beretika serta relevan untuk semua generasi.

Sementara itu, Fahmi berharap Lembaga Pengelola Bernama yang baharu dilantik dapat meneliti kemungkinan melaksanakan usaha pengumpulan dana bagi memperkukuh Tabung Kasih @HAWANA agar dapat terus membantu lebih ramai rakan media yang memerlukan.

“Lazimnya, Bernama memainkan satu peranan yang penting untuk mengurus dan membantu dalam mengelolakan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahunan serta mengusahakan Tabung Kasih @HAWANA untuk melihat kepada aspek-aspek kebajikan," katanya.

Beliau berkata sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan peruntukan kepada tabung berkenaan dan diurus dengan baik oleh pihak Bernama namun terdapat keperluan untuk memastikan bantuan dapat terus disalurkan tanpa hanya bergantung kepada dana daripada Pejabat Perdana Menteri.

“Berdasarkan maklum balas yang kita dapat daripada penerima, kadangkala keadaan-keadaan tertentu mereka perlukan bantuan yang lebih dan sekiranya memerlukan dana yang lebih, apakah mekanisme selain daripada kita terus bergantung kepada Pejabat Perdana Menteri, jadi saya minta supaya pihak Bernama dan Lembaga Pengelola untuk teliti (perkara ini) dan kita bersiap sedia ke depan,” katanya.

Pada majlis itu, Fahmi menyerahkan surat pelantikan anggota Majlis Penyeliaan dan Lembaga Pengelola Bernama bagi tempoh 1 Sept 2025 hingga 31 Ogos 2027.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Azhar Abdul Hamid dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Penyeliaan Bernama yang baharu manakala Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai dilantik semula sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola. 

Empat lagi anggota Majlis Penyeliaan dan 20 anggota Lembaga Pengelola Bernama turut menerima surat pelantikan masing-masing.

Pelantikan mereka mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Azlina Aziz dan Setiausaha Majlis Penyeliaan/Lembaga Pengelola Sharifah Zaini Syed Zain.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan