AM

SMC, NCSM Dan 11 Organisasi Jalin Kerjasama Tingkat Kesedaran Kanser Kanak-kanak

08/10/2025 11:08 AM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) untuk mempertingkat penjagaan dan kesedaran kanser kanak-kanak di negara ini.

MoU berkenaan turut melibatkan 11 organisasi lain termasuk Persatuan Kanser Kanak-Kanak Kami Endah HRPB (PEKA-ENDAH HRPB), Persatuan Sokongan Kanser Kanak-Kanak PPUKM (CAKNE-PPUKM) dan Persatuan Hematologi dan Onkologi Pediatrik Malaysia (MASPHO).

SMC dalam kenyataan memaklumkan kerjasama strategik itu, bertujuan memperkukuh kerjasama, meneroka peluang baharu dan pengetahuan dalam penjagaan serta kesedaran kanser kanak-kanak di Malaysia.

“Menyedari betapa pentingnya untuk terus menambah baik penjagaan kanser pediatrik dan kesedaran awam di negara ini, SMC percaya bahawa setiap kanak-kanak yang menghadapi masalah kesihatan serius atau kanser, berhak dirawat oleh sebuah pasukan pediatrik yang khusus,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif SMC Dr Seow Vei Ken berkata pendekatan pelbagai disiplin adalah antara teras utama penjagaan kanser di Unit Hematologi dan Onkologi Pediatrik SMC.

“Pasukan pakar kami, yang terdiri daripada pakar pediaktrik hematologi, pakar pediaktrik onkologi, pakar pediaktrik rawatan rapi, jururawat, ahli psikologi dan terapis permainan, bekerjasama untuk memberikan penjagaan holistik yang mengutamakan keselamatan, keperluan perubatan serta emosi pesakit pediatrik kami,” katanya.

Pengarah Urusan NCSM Kol Bersekutu (PA) Prof Dr M. Murallitharan pula berkata semangat pesakit kanak-kanak adalah faktor utama pihaknya menjalinkan kerjasama ini.

“Sebagai pengamal perubatan, kami sering menumpukan pada kiraan sel. Tetapi di sebalik kiraan tersebut adalah kanak-kanak yang mempunyai impian dan harapan. Bukan sekadar statistik, semangat merekalah yang sebenarnya menggerakkan misi kami,” katanya.

Pada tahun lepas, SMC melancarkan Program Pakar Permainan dengan bimbingan pakar permainan bertauliah, yang menggunakan terapi seni dan permainan untuk membantu pesakit kanak-kanak meluahkan emosi serta mengekalkan rasa normal sepanjang rawatan mereka.

SMC merupakan rangkaian perkhidmatan penjagaan kesihatan kanak-kanak yang paling komprehensif di negara ini, dengan perkhidmatan lebih daripada 26 subkepakaran pediatrik serta lebih 50 perunding pediatrik.

SMC juga mempunyai Pusat Kesihatan dan Pembangunan Kanak-Kanak, malah merupakan hospital swasta pertama di Malaysia yang menyediakan khidmat Jabatan Kecemasan Kanak-Kanak 24 jam, yang berasingan daripada Jabatan Kemalangan dan Kecemasan bagi pesakit dewasa.

Pusat Kanser Sunway pula menyediakan perkhidmatan penjagaan kanser yang komprehensif, termasuk rawatan lanjutan seperti kemoterapi, radioterapi, dan terapi sasaran, bagi memastikan pesakit yang menghidap semua jenis kanser menerima sokongan dan penjagaan khusus yang diperlukan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan