AM

SME Corp Dan SMEDA Jalin Kerjasama Lonjak PKS Di Malaysia, Pakistan

08/10/2025 09:05 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Pakistan menjalinkan kerjasama dengan menumpukan kepada perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik terutama dalam pendigitalan, kelestarian dan akses pasaran di kedua-dua negara.

Menurut kenyataan SME Corp hari ini, matlamat kedua-dua organisasi itu adalah untuk mewujudkan persekitaran lebih kondusif yang membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di kedua-dua negara dipertingkat supaya menjadi lebih berdaya saing dan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi.

“Dengan populasi penduduk Pakistan yang besar dan muda, kemajuan urbanisasi serta pembangunan infrastruktur yang berterusan, ia menyumbang kepada perkembangan permintaan pasaran seperti makanan dan minuman halal, produk pengguna, pemprosesan tani, pakaian sopan, dan teknologi bersih,” menurut kenyataan itu.

Kekuatan Malaysia dalam pensijilan halal dan inovasi digital memberikan kelebihan daya saing kepada PKS untuk menawarkan produk dan perkhidmatan premium.

Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Rizal Nainy dan Pembantu Khas (Hal Ehwal Luar Negeri) Kepada Perdana Menteri Pakistan Syed Tariq Fatemi dengan disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya Muhammad Shehbaz Sharif di Putrajaya pada Isnin lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan