AM

Sarawak Mampu Jadi Model Tadbir Urus Contoh Peringkat Global – Awang Tengah

07/10/2025 04:10 PM

KUCHING, 7 Okt (Bernama) -- Sarawak berupaya memanfaatkan kekayaan sumber, kepelbagaian budaya dan kestabilan politiknya untuk muncul sebagai model tadbir urus subnasional dalam rangkaian global, kata Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata kekuatan itu membolehkan Sarawak memainkan peranan aktif dalam tadbir urus global dan pembangunan mampan.

“Menerusi rangkaian kerjasama antarabangsa, kita mahu memastikan Sarawak menjadi sebahagian daripada penyelesaian global terhadap cabaran seperti rasuah, krisis alam sekitar dan ketidaksamarataan sosial,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan Integriti dan Tadbir Urus (NCIG) 2025 di sini hari ini.

Awang Tengah berkata usaha berkenaan sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 16 yang menekankan keadilan, keamanan dan institusi yang kukuh.

“Pada masa sama, Sarawak turut mengambil pendekatan proaktif dalam menyumbang kepada agenda perubahan iklim dunia melalui pelaksanaan inisiatif tenaga boleh diperbaharui, hidrogen hijau serta pemeliharaan hutan tropika yang menjadi paru-paru dunia,” katanya.

Awang Tengah berkata pendekatan itu bukan sahaja menyokong Perjanjian Paris mengenai Perubahan Iklim, malah membuktikan komitmen Sarawak terhadap ekonomi hijau dan pembangunan mampan.

Beliau berkata integriti dan tadbir urus yang baik menjadi teras kepada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak, yang menjadi asas kepada agenda pertumbuhan dan transformasi jangka panjang negeri itu.

Menurutnya, Sarawak terus memperkukuh institusionalisasi integriti dalam pentadbiran melalui penubuhan Unit Integriti dan Ombudsman Negeri Sarawak (UNIONS), pelantikan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO), pelaksanaan Ordinan Ombudsman serta sistem e-perolehan.

Awang Tengah berkata Sarawak kekal sebagai satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai undang-undang berkaitan Ombudsman menerusi Ordinan Ombudsman Sarawak 2023, satu langkah bersejarah yang menyediakan mekanisme bebas bagi memastikan kebertanggungjawaban dan pemantauan awam.

“Melalui usaha ini, Sarawak menghantar mesej jelas kepada rakyat, pelabur dan komuniti antarabangsa bahawa integriti bukan sekadar slogan, tetapi komitmen yang dijamin untuk memastikan tadbir urus yang telus dan adil terus diperkukuh di Sarawak,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan