KUCHING, 7 Okt (Bernama) -- Sarawak akan menyalurkan inisiatif pendidikan tinggi percuma untuk memperkukuh modal insan dalam sektor bernilai tinggi seperti pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), tenaga boleh diperbaharui serta teknologi alam sekitar.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata inisiatif dilaksanakan tahun depan itu, merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang bagi memastikan rakyat negeri itu dilengkapi pengetahuan teknikal serta kemahiran diperlukan untuk memimpin peralihan ke arah ekonomi mampan dan rendah karbon.
“Sarawak dianugerahkan dengan modal semula jadi kerana kita mempunyai 62 peratus kawasan liputan hutan. Apabila kita memiliki modal alam sekitar dan modal insan yang boleh dilatih, maka Sarawak boleh menjadi pemain pada peringkat dunia.
“Kami telah mengambil langkah berani untuk bertindak demi generasi masa depan. Kita juga memerlukan golongan teknokrat, mereka yang mahir dalam sains dan boleh menyumbang kepada kaedah kita menguruskan peralihan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada pelancaran program Accelerating Climate Action in Sarawak: An Open Day for the Sarawak Net Zero Strategy and Carbon Plan di sini hari ini.
Abang Johari berkata inisiatif pendidikan percuma itu direka untuk melahirkan generasi baharu saintis, jurutera dan ahli teknologi bagi menyokong sektor hijau Sarawak yang berkembang pesat, khususnya dalam ekonomi hidrogen, pengurusan karbon dan projek CCUS.
Beliau menambah dasar tersebut mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk membina ekonomi berteraskan pengetahuan dan mampu menghasilkan inovasi bagi menyelesaikan cabaran alam sekitar global serta mewujudkan peluang yang mampan kepada generasi hadapan.
Penganjuran program itu memberi platform kepada peserta untuk meneroka dan memberi maklum balas kepada hala tuju nyahkarbon negeri serta mekanisme pasaran karbon yang akan membentuk masa depan Sarawak.
Ia juga melibatkan bengkel mengenai pelaporan kelestarian dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta menyediakan peluang kepada pemimpin industri dan pembuat dasar untuk bertukar idea serta amalan baik bagi memacu tindakan iklim yang dapat diukur dan mewujudkan nilai jangka panjang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial