KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempunyai kuasa di bawah peruntukan undang-undang untuk memeriksa kad pengenalan pengguna bagi memastikan kelancaran pelaksanaan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan program subsidi bersasar BUDI MADANI RON 95 (BUDI95).
Pengarah KPDN Kuala Lumpur Mohd Sabri Seman berkata langkah itu bertujuan menangani isu penyalahgunaan identiti dan pemeriksaan hanya akan dilakukan apabila diperlukan sebagai langkah kawalan serta pencegahan yang munasabah.
Beliau berkata pemantauan menyeluruh juga sedang giat dijalankan di semua stesen minyak berlesen di sekitar Kuala Lumpur susulan pelaksanaan penuh BUDI95.
“Sejajar dengan fokus KPDN dalam meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan melalui pengurusan risiko ketirisan dan pengintegrasian penguatkuasaan digital, sebanyak 101 anggota penguat kuasa KPDN Kuala Lumpur telah digerakkan untuk membuat pemeriksaan.
"Terkini 196 stesen minyak telah diperiksa dan tiada masalah atau isu yang dikesan setakat ini. Hingga kini, KPDN Kuala Lumpur juga tidak menerima sebarang aduan berhubung permasalahan pelaksanaan SKPS di mana-mana stesen minyak di seluruh Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada isu atau masalah yang timbul terhadap SKPS yang telah diguna pakai selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyalurkan subsidi petrol RON95 secara bersasar kepada rakyat Malaysia yang layak.
Mohd Sabri berkata melalui SKPS dan BUDI95, keseluruhan transaksi jual beli direkodkan secara digital dan telus, membolehkan pemantauan yang lebih pantas serta berkesan untuk mengenal pasti sebarang aktiviti mencurigakan seperti pembelian berulang atau kuantiti tidak munasabah.
“Pendekatan ini turut menyekat ruang manipulasi dan penyelewengan sepanjang rantaian jual beli petrol sekali gus mengekang modus operandi penyeludupan yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial