AM

JKM Tambah 20 PPS Di Kelantan Perkukuh Kesiapsiagaan Banjir

07/10/2025 03:19 PM

KUALA KRAI, 7 Okt (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan akan menambah sebanyak 20 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi persediaan menghadapi musim banjir di negeri ini tahun ini.

Timbalan Pengarah JKM Kelantan Md Yani Mat Zin berkata penambahan itu menjadikan keseluruhan 459 PPS disediakan di seluruh negeri sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir luar jangka.

Beliau berkata pertambahan ini dibuat kerana ada kawasan yang mengalami banjir di luar jangkaan seperti yang berlaku tahun lalu. 

"Jadi, kita mahu pastikan kemudahan mencukupi sekiranya situasi sama berulang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Memacu Kehidupan Deepavali 2025 di Dewan Pejabat KESEDAR Wilayah Timur di sini, hari ini.

Md Yani berkata berdasarkan keadaan cuaca semasa, terdapat kemungkinan banjir turut berlaku di kawasan yang sebelum ini tidak terjejas.

“Jika sebelum ini banjir lazimnya melanda Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Tumpat dan Kota Bharu, namun tahun ini kita turut memberi tumpuan kepada jajahan lain yang berpotensi mengalami bencana sama. Penambahan PPS ini adalah langkah awal bagi memastikan mangsa banjir dapat berpindah ke tempat yang lebih selamat dengan segera,” katanya.

Beliau berkata seramai lebih 400 kakitangan JKM bersiap sedia untuk digerakkan bagi membantu mangsa terjejas di seluruh Kelantan.

“Setiap PPS akan menempatkan sembilan kakitangan kami, tidak termasuk sukarelawan dan tukang masak yang dilantik. Di peringkat jajahan pula, kita telah menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Jajahan masing-masing,” katanya.

Md Yani berkata keseluruhan PPS yang disediakan itu mampu menampung sehingga 172,400 mangsa banjir di negeri ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Ahmad Shazly Ramli berkata Petronas melalui Yayasan Petronas menyalurkan sumbangan berjumlah RM340,000 kepada 1,700 keluarga India yang kurang berkemampuan di seluruh negara sempena sambutan Deepavali tahun ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 100 keluarga India di Kelantan menerima sumbangan bakul makanan yang mengandungi keperluan asas seperti beras dan minyak masak.

“Bantuan ini merupakan komitmen berterusan Yayasan Petronas untuk menceriakan sambutan perayaan masyarakat India di seluruh negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan