KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro melakar sejarah apabila buat pertama kalinya bekerjasama menganjurkan konsert khas sempena sambutan Deepavali, bulan ini.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata konsert bertemakan “Titikkum Deepavali Kondattam” itu sebagai detik bersejarah yang mempamerkan kerjasama erat antara sektor penyiaran awam dan swasta, melibatkan pelbagai artis tempatan.
“Ini satu usaha yang sangat baik, kerana kita dapat melihat dua organisasi besar iaitu daripada kerajaan dan sektor swasta, berganding bahu untuk menghasilkan konsert yang menampilkan bakat-bakat tempatan untuk meraikan budaya dan komuniti.
“Saya berharap ia menjadi hadiah manis buat semua yang menyambut Deepavali,” katanya pada sidang media di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Naib Presiden Perniagaan Pelanggan India Astro Prem Anand.
Teo berkata konsert berkenaan telah dirakam pada 20 Sept lepas di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri dan akan disiarkan serentak di saluran TV2 (RTM) serta Astro Vinmeen (Saluran 202) pada 21 Okt, 9 malam.
Konsert tersebut bakal menampilkan 70 artis tempatan termasuk penyanyi, penari serta nama-nama popular seperti Darkkey, Balan Kash, Santesh dan Zubir Khan di samping persembahan istimewa oleh penyanyi legenda India Srinivas.
Kerjasama itu turut menyaksikan penyampai radio daripada dua stesen berbahasa Tamil, Raaga dan Minnal FM, berkongsi pentas buat pertama kali.
“Kerjasama seperti ini menunjukkan kepentingan perkongsian sumber dan kepakaran dalam usaha meningkatkan kualiti produksi tempatan.
“Media adalah rakan kita (kementerian). Kadang-kadang kita bersaing dari segi kualiti berita atau siapa yang lebih cepat, tetapi ada juga masa kita boleh berkongsi sumber bagi menghasilkan sesuatu yang lebih besar untuk penonton,” kata beliau.
Teo juga melahirkan keyakinan bahawa kerjasama seumpama itu boleh diperluas ke bidang atau program lain seperti sukan, selagi ia bersesuaian dan menepati keperluan masyarakat.
“Saya rasa ada banyak lagi peluang pada masa akan datang. Jika ada yang sesuai, kita boleh duduk berbincang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial