AM

RUU Perbekalan 2026 Dibentang Untuk Bacaan Kali Pertama Hari Ini

07/10/2025 02:32 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

RUU itu dibacakan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, ia bagi membolehkan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan dan perbelanjaan kerajaan bagi 2026.

Pembentangan itu dilakukan selepas sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi.

Amir Hamzah berkata RUU berkenaan akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada jam 4 petang Jumaat ini oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bacaan kali kedua itu akan memperincikan hala tuju dan strategi fiskal kerajaan untuk tahun depan.

Sesi perbahasan Belanjawan 2026 di peringkat dasar dijadual berlangsung dari 13 hingga 28 Oktober diikuti sesi penggulungan oleh menteri pada 29 Okt hingga 4 November.

Perbahasan di peringkat jawatankuasa pula akan bermula pada 5 hingga 27 Nov.

Selepas itu, empat hari terakhir persidangan Dewan Rakyat akan diperuntukkan untuk pembentangan usul lain serta RUU kerajaan yang berkaitan.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan