EKONOMI

RHB IB Jangka Maklumat Terkini MRT3 Menerusi Belanjawan 2026

07/10/2025 05:14 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) menjangkakan maklumat lanjut mengenai projek Aliran Transit Massa (MRT) Laluan Lingkaran atau dikenali sebagai MRT3 akan diumumkan menerusi pembentangan Belanjawan 2026 pada Jumaat ini, susulan kelulusan skim terakhir keretapi itu Julai lepas.

Bank pelaburan itu menjelaskan jumlah penumpang bagi MRT Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya masing-masing mencecah rekod tertinggi sebanyak 8.3 juta dan 5.1 juta penumpang pada Julai, sekali gus menunjukkan permintaan tinggi terhadap pengangkutan tren awam.

RHB IB juga menjangkakan kadar perbelanjaan pembangunan (DE) kasar yang diperuntukkan kepada subsektor pengangkutan dalam Belanjawan 2026 akan lebih tinggi daripada 20.4 peratus yang diperuntukkan untuk tahun ini, tambahnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Sebagai rekod, kira-kira RM17.6 bilion atau 20.4 peratus daripada DE kasar berjumlah RM86 bilion yang pada mulanya diperuntukkan untuk 2025, telah disedakan untuk subsektor pengangkutan dengan adanya projek pengangkutan yang berpotensi dan sedia ada seperti Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan pembinaan lima stesen LRT 3 yang disambung semula.

Menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan memperuntukkan RM430 bilion sebagai DE kasar bagi tempoh 2026 hingga 2030 untuk mempertingkatkan infrastruktur, pengangkutan awam, langkah mitigasi banjir, perumahan mampu milik dan sektor utama lain.

“Walaupun purata lima tahun bagi DE kasar RM430 bilion RMK13 adalah RM86 bilion (setahun) berbanding RM86 bilion yang diperuntukkan bagi tempoh tahun kalendar 2025, kami percaya julat DE kasar yang munasabah boleh berada antara RM86 bilion hingga RM89 bilion untuk tahun kalendar 2026.

“Ini sejajar dengan pandangan bahagian Ekonomi dan Strategi Pasaran RHB,” jelasnya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan