KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 akan memperkukuh perlindungan sosial dan meningkatkan daya tahan isi rumah manakala pelaburan bakal menumpukan kepada semikonduktor, peralihan tenaga, pendigitalan, syarikat pemula niaga dan industri masa depan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata belanjawan yang akan dibentangkan pada Jumaat ini memberi penekanan kepada “melindungi isi rumah daripada tekanan pada masa ini di samping meletakkan asas bagi pertumbuhan masa hadapan.”
“Bagi keluarga yang mengimbangi belanjawan bulanan, atau generasi muda rakyat Malaysia yang mencari pekerjaan pertama, ketidaktentuan bukanlah sekadar idea; ini adalah realiti hidup. Belanjawan 2026 dirangka dengan menjadikan kumpulan ini sebagai keutamaan,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Forum Megatrends Khazanah (KMF) 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata belanjawan berkenaan bukan sekadar langkah yang bersendiri sendiri, sebaliknya “permulaan” kepada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang akan merangka hala tuju Malaysia bermula 2026 hingga 2030.
“Hala tuju kita jelas. Malaysia akan melaksanakan semula pengindustrian menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu, menerajui semikonduktor melalui Strategi Semikonduktor Nasional, mempercepat peralihan tenaga dan memanfaatkan pendigitalan dan inovasi.
“Kesemua strategi ini berkongsi satu matlamat -- untuk menjamin pekerjaan yang lebih baik, perniagaan lebih kukuh dan peluang lebih cerah untuk anak-anak kita.
“Belanjawan ini juga menjamin asas fiskal kami dengan mengurangkan defisit fiskal kepada 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar tahun ini, mengurangkan kebergantungan kepada hutang dan memperkukuh tadbir urus melalui Akta Tanggungjawab Fiskal 2023 dan undang-undang baharu mengenai ketelusan,” kata beliau.
Menurutnya RMK13 bukan sekadar rancangan ke atas ekonomi malah rancangan untuk rakyat Malaysia.
“Dalam kalangan pekerja, ini bermakna pekerjaan yang lebih baik. Bagi isi rumah, kehidupan yang lebih mampu milik. Kepada perniagaan kecil, sokongan yang lebih kuat untuk berkembang dan untuk golongan muda, lebih banyak peluang untuk terus berada di negara ini dan mencapai kejayaan,” katanya.
Amir Hamzah turut menekankan bahawa ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan.
“Walaupun berdepan cabaran global, Malaysia telah memaparkan daya tahan, dengan pelaburan langsung asing tertinggi yang pernah direkodkan, pengukuhan ringgit, daya saing yang semakin baik, pengangguran menurun dan inflasi rendah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial