AM

Peserta GSF Malaysia Akan Dibawa Pulang Segera - Ahmad Farhan

06/10/2025 06:45 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi kini berada di Istanbul, Turkiye bagi membantu mempermudahkan urusan kesemua 23 peserta Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF).

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata ia adalah perkara yang telah diamanahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepadanya untuk segera membawa pulang kesemua anak-anak Malaysia itu ke tanah air dengan selamat.

“Kepulangan mereka kelak bukanlah satu pengakhiran kepada perjuangan menuntut kemerdekaan rakyat Palestin tetapi bakal menjadi lambang bagaimana negara kecil Malaysia ini utuh prinsipnya dan punyai rakyat yang berani berhadapan dengan kekejaman kuasa besar.

“Pohon doa rakyat dan sahabat semua untuk keselamatan pulang wira dan wirawati negara,” katanya.

Ahmad Farhan berkata menerusi pertemuan beliau bersama kesemua mereka, hampir keseluruhan peserta berada dalam keadaan sihat.

“Mereka kelihatan stabil dan bersemangat untuk terus membela perjuangan pembebasan Palestin. Semangat mereka itu sukar untuk saya gambarkan.

“Kebanyakan daripada peserta aktivis terpaksa membuang telefon bimbit mereka di lautan kerana risau akan terlepas ke tangan rejim,” katanya dan hantaran beliau itu turut dikongsikan Anwar.

Pada Khamis lepas, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3 di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Semua aktivis Malaysia dilaporkan dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.45 petang waktu Malaysia semalam, sebelum tiba di Istanbul pada 8.40 malam waktu Malaysia.

Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

Turut ditahan Razali Awang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan