AM

Sesi Penerangan Pembangunan Kampung Sungai Baru Di Dewan Rakyat Khamis Ini - Dr Zaliha

06/10/2025 05:03 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa akan memberi penerangan khusus berhubung pembangunan semula Kampung Sungai Baru pada Khamis ini di Parlimen, termasuk langkah memastikan penduduk menerima hak mereka dan entiti Melayu kekal di kawasan berkenaan.

Beliau berkata kerajaan sedang meneliti model pembangunan ekonomi lebih kreatif dan lestari bagi mengekalkan komuniti Melayu di bandar, khususnya dalam pembangunan semula Kampung Sungai Baru dan Kampung Baru.

“Insya-Allah Khamis ini saya diberikan masa untuk penerangan menteri khusus untuk Kampung Sungai Baru. Ketika itu nanti banyak lagi perkara yang kita boleh jelaskan dengan lebih terperinci,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) yang ingin tahu status terkini Kampung Sungai Baru yang dikategorikan sebagai Penempatan Pertanian Melayu (MAS).

Dr Zaliha berkata perbincangan sedang dijalankan dengan pemaju dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk UDA Holdings Berhad bagi mencari bentuk kerjasama terbaik untuk projek itu.

“Yang penting bagi saya ialah memastikan penduduk yang telah bersetuju diberikan rumah yang mereka tunggu lebih sembilan tahun,” katanya sambil menegaskan kerajaan komited menjadikan pembangunan dua kampung bersejarah itu sebagai pemangkin kemajuan Kuala Lumpur tanpa menjejaskan nilai warisan Melayu.

Pada 11 Sept lepas, media melaporkan suasana tegang tercetus di Kampung Sungai Baru selepas beberapa penduduk yang berdepan tindakan pengusiran enggan berpindah dari kediaman masing-masing.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru, dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.

Menjawab soalan asal Azman mengenai cabaran pembangunan tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur, Dr Zaliha berkata pembangunan semula kawasan berkenaan berdepan pelbagai kekangan termasuk isu pemilikan bertindih, nilai pasaran terhad dan keperluan mengekalkan warisan budaya.

“Sebahagian tanah rizab Melayu merupakan tanah pusaka yang diwarisi sejak turun-temurun. Ada lot tanah dimiliki oleh puluhan hingga ratusan individu, malah ada yang mempunyai pemilikan bertindih hingga 256 orang bagi satu lot seluas 8,700 kaki persegi,” katanya.

Beliau menjelaskan sekatan kepentingan yang melarang pindah milik kepada bukan Melayu turut mengehadkan minat pelabur walaupun banyak tanah rizab Melayu terletak di lokasi strategik seperti Sungai Penchala.

Beliau berkata sehingga kini, tanah rizab Melayu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjumlah 2,480 ekar (1,004 hektar), meliputi Rizab Melayu Segambut dan Selayang di Mukim Batu, Sungai Penchala dan Taman Desa di Mukim Kuala Lumpur serta Rizab Melayu Gombak di Mukim Setapak.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai cadangan penubuhan Lembaga Pembangunan Sumber Bandar, Dr Zaliha berkata kerajaan terbuka menelitinya dengan mencontohi model Pihak Berkuasa Pembaharuan Semula Bandar (URA) di Singapura dan Hong Kong, selain menekankan keperluan penyelarasan lebih bersepadu bagi melindungi hak serta kesejahteraan masyarakat Melayu dan bumiputera bandar.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan