KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Malaysia serta beberapa negara lain bimbang terhadap kelompongan pelan damai 20 perkara bagi menamatkan perang di Gaza oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.
Beliau berkata dalam pelan itu Trump tidak menyebut secara jelas mengenai perdamaian dan pengunduran tentera secara total serta penentuan hala tuju negara Palestin yang mestilah ditentukan oleh rakyat Palestin sendiri.
Bagaimanapun beliau berkata, Malaysia melihat pelan itu turut mempunyai manfaat besar dalam krisis di Gaza, antaranya menghentikan serangan serta-merta oleh Israel di wilayah itu.
“Dengan adanya pelan 20 perkara ini, kita berharap akan berlaku pemberhentian pengeboman, genosid dan kemusnahan. Yang paling penting, pelan ini membuka ruang kepada dunia untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Justeru, ini sesuatu yang kita sambut baik. Namun, ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan dalam pelan tersebut kerana terdapat kebimbangan, termasuk dalam kalangan beberapa negara bahawa masih terdapat kelompongan di dalamnya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad menjawab soalan tambahan oleh Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) berhubung pendirian Malaysia terhadap pelan damai yang merangkumi 20 perkara dicadangkan oleh Trump berhubung genosid di Gaza serta kegusaran pelbagai pihak susulan kehadiran Presiden AS itu pada Sidang Kemuncak ASEAN hujung bulan ini.
Mengenai kehadiran Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN, Mohamad menjelaskan sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia berkewajipan menjemput semua rakan dialog ASEAN untuk hadir tanpa terkecuali, selaras dengan prinsip neutraliti serta kesentralan serantau dan bukannya dibuat atas dasar hubungan dua hala semata-mata.
Beliau berkata Malaysia akan menggunakan ruang perjumpaan bersama Trump untuk menyatakan pendirian serta kegusaran negara atas kezaliman Israel tehadap Palestin.
“Yang paling penting, kerjasama antara Malaysia, ASEAN dan Amerika Syarikat dapat dimantapkan dalam usaha menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka serta membebaskan Palestin daripada ancaman genosid dan kemusnahan.
“Kita juga mahu memastikan ada sokongan untuk pembinaan semula Gaza pada masa hadapan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial