AM

Malaysia Perlu Akta Khusus, Agensi Tunggal Kawal Selia Penjagaan Dan Pendidikan Awal Kanak-kanak

06/10/2025 09:26 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat menegaskan Malaysia memerlukan satu akta khusus dan agensi tunggal untuk mengawal selia sektor penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak (ECCE) demi masa depan pembangunan modal insan negara.

Pengerusinya Yeo Bee Yin (PH-Puchong) berkata ini kerana sektor ECCE di negara ini masih ketinggalan jauh dari segi dasar, tadbir urus dan peruntukan berbanding sektor pembangunan modal insan lain seperti sekolah rendah dan menengah, institusi pendidikan tinggi serta latihan pekerjaan.

“Secara keseluruhannya, negara kita tiada dasar yang menyeluruh atau akta khusus bagi sektor ECCE. Selain itu, terdapat banyak pertindihan fungsi antara pelbagai agensi sama ada KPM (Kementerian Pendidikan), KEMAS (Jabatan Kemajuan Masyarakat) atau Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penerangan Penyata DR.17 Tahun 2025 berhubung sektor ECCE di Malaysia di Dewan Rakyat hari ini.

Yeo berkata jawatankuasa itu telah mengadakan 13 sesi libat urus dalam menyediakan penyata yang disifatkan “sangat komprehensif” melibatkan pelbagai jabatan, pakar rujuk, universiti serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain mengadakan lawatan kerja ke Singapura bagi mendalami ECCE negara itu.

Justeru, beliau mencadangkan penubuhan satu agensi khusus seperti Early Childhood Development Authority (ECDA) di Singapura yang akan mengambil tanggungjawab penuh kawal selia dan pembangunan sektor ECCE.

Bagaimanapun, Yeo berkata antara cabaran utama sektor ECCE termasuk pelesenan taska dan tadika yang rumit dan tidak seragam, kekurangan tenaga kerja berkualiti serta tekanan kewangan terhadap pengusaha swasta yang menawarkan yuran mampu milik.

“Dalam sesi libat urus kita dengan pengusaha ECCE, kita sentiasa dengar aduan berkenaan birokrasi untuk mendapatkan pendaftaran premis dan perniagaan. Ini sangat menyulitkan dan kadangkala mereka berputus asa.

“Ini menyebabkan kadar pendaftaran taska dan tadika swasta sangat rendah kalau kita banding dengan apa yang sebenarnya ada di negara kita,” katanya.

Pada masa sama, Yeo turut menyuarakan kebimbangan terhadap jurang kualiti pendidikan serta kemudahan ECCE di kawasan bandar dan luar bandar, serta antara penyedia awam dan swasta.

Sehubungan itu, beliau berkata antara syor utama lain dikemukakan termasuk penubuhan Majlis Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan, pemberian geran tahunan kepada pengusaha swasta tidak berorientasikan keuntungan dan penyediaan lebih banyak premis ECCE awam.

Selain itu, jawatankuasa itu turut mencadangkan penyelarasan kelayakan dan pensijilan guru pendidikan awal di bawah semua agensi serta kenaikan bantuan makanan prasekolah di Sabah dan Sarawak kepada RM5 per kapita sehari.

Yeo berkata pendidikan awal kanak-kanak merupakan asas penting dalam mencorak masa depan individu dan negara ini.

“Matlamat adalah jelas iaitu kita memastikan tiada kanak-kanak yang tertinggal dan perkembangan holistik setiap kanak-kanak di Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang sosial ekonomi mereka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Ramli Mohd Nor mencadangkan semua syor dikemukakan jawatankuasa pilihan serta cadangan Ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan, dikemukakan sebagai usul untuk dijawab oleh menteri berkaitan.

“Didapati banyak juga soalan tidak dijawab (dan) banyak cadangan yang tidak tentu sama ada menjadi dasar kerajaan atau tidak. Jadi mengapa tidak pengerusi jawatankuasa pilihan mengusulkan agar menteri dan kementerian berkaitan untuk menjawab. Jadi anda akan mendapat gambaran jelas sama ada cadangan diterima atau tidak,” katanya.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan