AM

Freedom Flotilla Coalition Disasar Masuk Zon Kuning Esok - MyCARE

06/10/2025 11:58 AM

SERDANG, 6 Okt (Bernama) -- Misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang kini dalam pelayaran ke Gaza dijangka memasuki zon kuning pada Selasa. 

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata sasaran itu ditetapkan bagi membolehkan misi membabitkan sembilan kapal termasuk kapal utama  Conscience dan kapal pelayaran Umm Saad, tiba di Gaza sebelum hujung minggu.

Beliau berkata pihaknya berusaha mengelak ketibaan pada hujung minggu iaitu Jumaat dan Sabtu memandangkan hari berkenaan merupakan cuti di Israel, yang boleh menyukarkan akses kepada bantuan guaman sekiranya misi peserta dihalang.

“Jadi, mereka akan cuba tiba sebelum itu, bila sampai Rabu, jika misi dipintas dan dibawa ke pelabuhan, peguam akan sampai dan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan akses kepada peserta misi,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MyCARE di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata setakat 2.20 pagi (waktu Malaysia), jarak kapal Conscience ke Gaza kurang daripada 250 batu nautika dan pihaknya menganggarkan mereka memasuki zon kuning dalam tempoh kurang 24 jam.

Beliau berkata kapal Conscience yang membawa sembilan delegasi Malaysia sedang mengatur strategi memperlahankan pelayaran bagi menunggu lapan kapal layar lain termasuk kapal Umm Saad yang membawa seorang delegasi negara ini untuk bergabung sebelum bersama-sama menuju ke zon kuning.

Kamarul Zaman berkata beliau turut dimaklumkan oleh ketua delegasi Malaysia di atas kapal Conscience Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali mengenai kehadiran beberapa dron yang berlegar di atas kapal dipercayai bertujuan menakut-nakutkan peserta misi.

“Delegasi Malaysia di atas kapal Conscience juga membuat penstriman langsung bersama pihak hospital Al-Awda di Gaza yang melaporkan situasi di klinik mereka sangat kekurangan peralatan dan bekalan perubatan.

“Mereka terpaksa menggunakan kaedah konvensional dalam merawat pesakit selain menggunakan kreativiti untuk ubah suai peralatan perubatan sedia ada,” katanya.

Misi FFC kali ini menyaksikan lapan wakil Malaysia berada dalam kapal Conscience yang berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 Sept lepas diketuai Mohd Alauddin, tiga doktor iaitu Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi; dua pensyarah Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil.

Seorang lagi wakil Malaysia, Dr Maziah Muhammad berada di kapal Umm Saad yang berlepas dari Catania, Sicily pada 27 Sept bersama tujuh kapal layar lain menuju Gaza.

Secara keseluruhan, misi FFC kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan