AM

PMKS Pemacu Sektor Pelancongan Mesra Muslim

06/10/2025 09:45 AM

Oleh Norhayati Mohd Akhir

PUTRAJAYA, 6 Okt (Bernama) -- Produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dilihat sebagai pemacu utama pembangunan sektor pelancongan Islam negara, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi mesra Muslim nombor satu dunia.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata PMKS bukan sahaja menjadi tulang belakang industri pelancongan tempatan, malah mempunyai akses luas ke pasaran baharu berasaskan konsep Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim.

Beliau berkata Islamic Tourism Centre (ITC) berperanan penting memperkasa PMKS melalui pelbagai inisiatif seperti pengiktirafan Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR), Muslim-Friendly Tourist Guide dan program pembangunan usahawan pelancongan.

“Pendekatan ini bukan sahaja memperluas peluang perniagaan Bumiputera dalam rantaian nilai pelancongan, malah menyokong dasar MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk melahirkan komuniti usahawan yang berdaya saing, inovatif dan mampan,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan nombor satu sebagai Destinasi Mesra Muslim (Negara OIC) dalam laporan Indeks Pelancongan Muslim Global 2025 oleh Mastercard-Crescent Rating selama 10 tahun berturut-turut, hasil polisi, standard dan latihan yang dibangunkan ITC.

Selain itu, Malaysia turut mengungguli carta Ekonomi Pelancongan Mesra Muslim menurut laporan State of the Global Islamic Economy 2024/2025 oleh DinarStandard, sekali gus mencerminkan kekuatan negara dalam hospitaliti, inovasi dan diplomasi budaya Islam.

Beliau berkata pada tahun lepas, Malaysia menerima 5.4 juta pelancong Muslim daripada 25 juta pelancong antarabangsa keseluruhan, yang menjana pendapatan RM19.54 bilion kepada ekonomi negara.

“Bahkan ITC berjaya menembusi pasaran baharu iaitu pasaran Muslim di China dengan dua lawatan suai kenal bersama Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound Cina Malaysia, yang telah menjana pulangan RM100 juta menerusi penjualan pakej pelancongan ke Malaysia,” katanya.

Bagi memastikan ekosistem pelancongan Islam terus mampan, beliau berkata ITC turut membuka peluang kerjaya baharu seperti eksekutif MFAR, pemandu pelancong mesra Muslim, terapis spa lelaki dan wanita serta pegawai keselamatan kolam renang.

Malah, program akademik juga dibangunkan untuk melahirkan generasi pelapis, antaranya Diploma Pelancongan Islam di Institut Pengajian Darul Aman, Diploma Pengurusan Pelancongan Islam di Kolej Ketengah dan pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia.

Shaharuddin berkata dengan jangkaan 245 juta ketibaan global pelancong Muslim dan perbelanjaan mencecah US$235 bilion menjelang 2030, Malaysia perlu terus melabur secara strategik dalam pelancongan mesra Muslim sebagai pemacu utama pencapaian sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), iaitu 45 juta ketibaan pelawat dan hasil sebanyak RM270 bilion.

“Pelaburan ini memberi pulangan ekonomi, budaya dan reputasi yang amat berbaloi kerana ia bukan sahaja memacu pertumbuhan pelancongan negara, malah mengangkat Malaysia di mata dunia sebagai peneraju utama industri pelancongan Islam,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan