AM

Malaysia, Pakistan Tegaskan Komitmen Perkukuh Perpaduan Ummah, Perangi Islamofobia

06/10/2025 05:41 PM

PUTRAJAYA, 6 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Pakistan menegaskan komitmen bersama untuk memperkukuh perpaduan ummah serta menegakkan nilai-nilai sebenar Islam, di samping mengecam genosid yang sedang berlaku di Gaza dan menyeru usaha bersepadu antarabangsa bagi memerangi Islamofobia.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat dua hala antara kedua-dua pemimpin hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif, menegaskan komitmen kedua-dua negara untuk menangani cabaran antarabangsa melalui kaedah damai, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan.

Ketika pertemuan itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan isu geopolitik, khususnya konflik yang berlarutan di Timur Tengah dan situasi kemanusiaan di Negeri Rakhine, Myanmar, yang menjejaskan komuniti Muslim Rohingya.

“Dalam konteks ini, kedua-dua pemimpin mengecam sekeras-kerasnya genosid yang sedang berlaku di Gaza serta menegaskan sokongan padu terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan menubuhkan sebuah negara Palestin yang berdaulat, berdaya maju, bersempadan berterusan dan merdeka berdasarkan sempadan sebelum Jun 1967, dengan Al-Quds Al-Sharif sebagai ibu negaranya.

“Mereka turut menyeru agar gencatan senjata dilaksanakan segera, tanpa syarat dan secara kekal, sekatan terhadap Gaza dihentikan, semua orang awam dilindungi serta aliran bantuan kemanusiaan kepada mangsa diteruskan tanpa halangan,” menurut kenyataan itu.

Anwar dan Shehbaz turut memuji usaha masyarakat antarabangsa dalam mencari langkah pragmatik bagi menyelesaikan isu pemberian taraf kenegaraan kepada Palestin.

“Kedua-dua pemimpin membincangkan ancaman yang semakin meningkat terhadap keamanan dan keselamatan di rantau ini. Mereka menekankan kepentingan untuk semua pihak bertindak dengan berhemah dan penuh tanggungjawab serta menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah sesebuah negara.

“Mereka juga bersetuju bahawa sebarang pertikaian perlu diselesaikan melalui cara damai selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan,” menurut kenyataan bersama itu.

Pada masa sama, Anwar dan Shehbaz menegaskan semula komitmen terhadap keamanan dan kestabilan Afghanistan serta masa depan yang mampan untuk rakyatnya, dengan menekankan kepentingan untuk terus berhubung dengan pihak berkuasa sementara Afghanistan, khususnya dalam usaha memerangi keganasan bagi mengelak negara itu dijadikan tempat pelancaran serangan terhadap negara lain.

“Menyorot keperluan kepada tadbir urus yang inklusif di negara berkenaan serta perlindungan terhadap hak asasi rakyatnya, kedua-dua pemimpin menegaskan kepentingan untuk meneruskan bantuan kemanusiaan dan usaha pembangunan kapasiti bagi penduduk Afghanistan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Anwar dan Shehbaz mengecam semua bentuk Islamofobia, xenofobia serta hasutan kepada keganasan, dan menegaskan semula gesaan agar masyarakat antarabangsa melaksanakan tindakan bersepadu bagi memerangi sikap tidak bertoleransi, stereotaip negatif, stigma, diskriminasi serta keganasan terhadap individu berasaskan agama atau kepercayaan.

“Kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan memupuk rasa saling menghormati, toleransi dan persefahaman antara agama, budaya serta bangsa, selaras dengan resolusi PBB yang berkaitan, termasuk Resolusi Majlis Hak Asasi Manusia 16/18 dan Resolusi 53/1,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin turut mengalu-alukan penerimaan Resolusi Perhimpunan Agung PBB 76/254 dan 78/264 yang menegaskan kepentingan Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia, serta menggalakkan Setiausaha Agung PBB supaya menggubal pelan tindakan berorientasikan hasil dengan kerjasama negara anggota bagi menangani Islamofobia dan bentuk kebencian berasaskan agama yang berkaitan secara berkesan.

Kedua-dua pemimpin juga memuji pelantikan Miguel Ángel Moratinos Cuyaubé dari Sepanyol sebagai Duta Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Memerangi Islamofobia pada 7 Mei, dan mengambil maklum peranannya sebagai wakil tinggi Perikatan Tamadun PBB, serta menyatakan sokongan terhadap mandat beliau sebagai sebahagian daripada usaha antarabangsa bersama untuk menentang sikap tidak bertoleransi dan memupuk keharmonian hidup bersama.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan