Oleh Frank Julian Martin
SIBU, 5 Okt (Bernama) -- Program Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bukan sahaja memberi makna besar kepada penerima, bahkan turut memberi impak positif kepada peruncit dan usahawan Perusahaan Kecil, Sederhana dan Mikro (PKMS) sekali gus dapat memacu pertumbuhan ekonomi setempat.
Penyelia Jumbo Grocer (Apollo) di sini, Peter Baran berkongsi bagaimana pelaksanaan program ini telah mengubah landskap perniagaan kecil.
Beliau berkata setiap bantuan yang disalurkan bukan sahaja membantu penerima dalam membeli keperluan harian, malah memberi impak berganda kepada pemain industri tempatan sekali gus dapat meningkatkan jualan kedai runcit yang berdaftar dengan MyKasih, selain membuka ruang mempromosikan pelbagai produk tempatan.
“Jika program ini diteruskan, lebih banyak produk PMKS berpotensi disenaraikan. Selain memberi peluang kepada pengusaha kecil memasarkan produk mereka, ia juga membolehkan peruncit menawarkan pilihan lebih pelbagai kepada pembeli,” katanya kepada Bernama.
Peter berkata Jumbo Grocer kini menjual kira-kira 20 jenis barangan tempatan keluaran PMKS termasuk Sarawak Kopi O yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
Beliau berkata sambutan memberangsangkan daripada pelanggan jelas membuktikan bahawa produk tempatan memiliki potensi yang besar dan hanya memerlukan ruang dan peluang untuk ia terus berkembang.
Peter berkata kebanyakan penerima memilih untuk menebus barangan asas seperti beras, gula, minyak masak dan makanan dalam tin kerana ia menjadi keperluan utama harian dan hanya segelintir yang menggunakan bantuan itu untuk membeli produk penjagaan diri, ubat-ubatan, keperluan sekolah atau barangan kebersihan rumah.
Sementara itu, Ketua Juruwang Easy Shop di Lorong Ulu Oya 11, Floren Agan berkata masih ramai penerima yang tidak menyedari bahawa mereka boleh menebus pelbagai produk lain selain makanan asas.
“Kebanyakan memberi tumpuan kepada beras, minyak masak, kopi, teh dan gula. Namun, sebenarnya mereka juga boleh membeli bihun, mi segera serta makanan dalam tin. Hanya segelintir yang memilih barangan kebersihan rumah,” katanya.
Floren menyifatkan SARA sebagai pendekatan holistik dalam menyantuni rakyat dan pada masa sama memperkasakan peniaga kecil serta membuka peluang baharu buat produk tempatan berkembang ke peringkat lebih tinggi.
“Easy Shop sudah pun menjual pelbagai produk tempatan. Jika lebih ramai PMKS terlibat, pembeli akan mendapat lebih banyak pilihan.Ini bukan sekadar membantu rakyat, malah membuka peluang kepada produk tempatan untuk berkembang dan berpotensi menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, hasil tinjauan Bernama di beberapa pasar raya di sekitar Sibu mendapati semakin banyak produk makanan keluaran PMKS Sarawak menghiasi rak-rak jualan termasuk mi kolok, mi kering, dan bihun dalam pelbagai bentuk.
Walaupun barangan dari Semenanjung masih mendominasi, peningkatan kehadiran produk tempatan dari Sabah dan Sarawak mencerminkan lonjakan semangat dan kualiti usahawan tempatan yang tidak wajar dipandang ringan.
SARA ialah program bantuan tunai bersasar kepada rakyat yang benar-benar memerlukan dan kini diperluas kepada 5.4 juta penerima, termasuk 700,000 penerima eKasih dan 4.7 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Melalui Belanjawan 2025, peruntukan bagi STR dan SARA ditingkatkan kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion sebelum ini, dengan bantuan tahunan SARA dinaikkan kepada RM2,100 berbanding RM1,200 tahun lepas.
Seiring dengan kerangka Ekonomi MADANI, inisiatif ini menekankan pemerkasaan rakyat berpendapatan rendah melalui peluang yang adil, taraf hidup lebih baik, serta perlindungan sosial menyeluruh.
Sebagai penghargaan sempena Hari Kebangsaan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pemberian RM100 sekali beri kepada semua warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas, disalurkan terus ke MyKad di bawah SARA, memanfaatkan 22 juta rakyat.
Pemberian itu melibatkan tambahan RM2 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan STR dan SARA kepada RM15 bilion tahun ini, tertinggi dalam sejarah bantuan tunai negara dan boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos hingga 31 Dis di lebih 8,100 kedai dan pasar raya di seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial