KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) komited untuk memelihara identiti budaya Jalan Petaling, sambil memperkukuh daya tarikannya sebagai destinasi pelancongan global.
Menteri berkenaan Datuk Seri Tiong King Sing berkata mengekalkan keseimbangan antara ciri tradisional mercu tanda dengan penambahbaikan standard pelancongan adalah penting untuk memastikan kelestarian warisan Jalan Petaling.
"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Jalan Petaling berdepan dengan cabaran sebenar, daripada tekanan kelangsungan hidup perniagaan tempatan kepada keperluan peningkatan aspek kebersihan, aturan dan pengalaman pengunjung.
"Perkara utama ialah bagaimana untuk mengimbangi identiti tradisional sambil meningkatkan kualiti pelancongan," katanya dalam ucapan pada Perarakan Tanglung Pertengahan Musim Luruh 2025 di sini hari ini, yang teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Akhbarnya Ross Sia Wan Teng.
Tiong berkata kawasan itu melambangkan memori kehidupan para perintis negara dan kekal sebagai satu daripada pintu masuk budaya Malaysia yang paling diiktiraf.
Beliau berkata kementerian mengalu-alukan usaha kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, peniaga dan persatuan komuniti untuk meremajakan Jalan Petaling sebagai destinasi yang bersih, selamat dan mesra.
"Komuniti juga mempunyai peranan dalam mengindahkan jalan ini, memastikan persekitaran yang lebih bersih dan selamat, serta mewujudkan suasana yang mesra pengunjung. Hanya dengan bekerjasama erat, kita dapat mengekalkan Jalan Petaling sebagai khazanah budaya dan destinasi yang berbaloi dikunjungi pelancong antarabangsa," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial