AM

GSF: KPWKM Sedia Tawar Bantuan Kaunseling Kepada Peserta Misi Dan Keluarga

04/10/2025 08:56 PM

KUCHING, 4 Okt (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia menawarkan khidmat kaunseling serta sokongan sosial kepada peserta pelayaran misi Global Sumud Flotilla (GSF) sebaik mereka tiba di tanah air, termasuk kepada ahli keluarga terlibat.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata sebarang bentuk koordinasi melibatkan peserta misi itu di luar negara akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Luar bagi memastikan aspek keselamatan dan tatacara bantuan berada dalam kawalan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kesukarelawan dan Cakna Komuniti Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Kolej Universiti i-CATS di sini, hari ini.

Nancy berkata KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di setiap daerah telah bersiap siaga bagi menyediakan bantuan sewajarnya, termasuk kaunseling trauma dan rujukan sosial kepada individu serta ahli keluarga yang terkesan atau memerlukan.

Misi GSF disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia, belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti serta usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Menurut perkembangan terkini yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, seramai 23 rakyat Malaysia yang menyertai delegasi GSF dan ditahan rejim Zionis sejak Khamis akan dibawa keluar dari Israel hari ini menggunakan pesawat khas ke Istanbul, Turkiye.

Sementara itu, dalam ucapannya di majlis berkenaan, Nancy menegaskan kejayaan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) di bawah KPWKM dan YKN yang berfungsi sebagai benteng sokongan masyarakat sejak ditubuhkan pada 2021.

“Sehingga September tahun ini, seramai 134,395 individu menerima manfaat daripada perkhidmatan PSSS melibatkan isu seperti tekanan, kemurungan, kebimbangan, penceraian dan beban kewangan.

“PSSS turut dinobatkan sebagai projek terbaik dalam Laporan Outcome KPWKM 2024 dengan kadar pematuhan metodologi 96 peratus serta pencapaian outcome 95 peratus, menunjukkan keberkesanan program itu dalam membantu rakyat berdepan pelbagai cabaran sosial,” katanya.

Program berkenaan turut menyaksikan pelancaran inisiatif Sahabat PSSS YKN: Mahasiswa Prihatin yang memberi peluang kepada mahasiswa menjadi sukarelawan serta rakan sokongan awal (first responder) di peringkat komuniti.

Nancy berkata inisiatif itu memperkasakan golongan muda untuk menjadi ejen perubahan sosial dengan menanam nilai empati, kasih sayang dan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan