AM

PR1MA Komuniti+ Diperkenal Di Residensi Pulau Sebang, Perkukuh Hubungan Kejiranan

04/10/2025 07:33 PM

ALOR GAJAH, 4 Okt (Bernama) -- Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) memperkenalkan inisiatif terbaharu iaitu PR1MA Komuniti+ menerusi penganjuran program sulung di Residensi Pulau Sebang di sini hari ini.

PR1MA dalam kenyataannya memaklumkan program berkenaan menzahirkan aspirasi agensi itu dalam memperkukuh hubungan kejiranan serta membuka peluang pembangunan komuniti, melebihi peranan utama sebagai penyedia perumahan mampu milik.

Menurut agensi peneraju perumahan mampu milik bagi kumpulan M40 di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu, penganjuran PR1MA Komuniti+ di residensi berkenaan merupakan sebahagian sokongan PR1MA terhadap agenda Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, kelestarian dan keterangkuman.

"Penganjuran PR1MA Komuniti+ di Residensi Pulau Sebang hari ini menghimpunkan pelbagai aktiviti bersama penduduk setempat, agensi kerajaan dan swasta serta usahawan kecil serta sederhana dalam kalangan komuniti.

"Selain itu, PR1MA turut mempromosikan M-Niaga, iaitu ruang niaga komersial yang ditawarkan di projek PR1MA di seluruh negara sebagai platform untuk menjana ekonomi komuniti," menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan yang sama, Pengerusi PR1MA Datuk Azrulnizam Abdul Aziz berkata penganjuran program PR1MA Komuniti+ sejajar dengan aspirasi untuk mewujudkan komuniti yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

Beliau berkata PR1MA percaya kejiranan yang kukuh terbina bukan sahaja melalui penyediaan kediaman yang berkualiti tetapi juga melalui jaringan sosial, aktiviti bersama dan peluang ekonomi yang memanfaatkan semua lapisan masyarakat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Anggota Perbadanan PR1MA Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff berkata PR1MA Komuniti+ mengukuhkan komitmen agensi itu melangkaui peranan sebagai penyedia kediaman mampu milik.

"Melalui M-Niaga pula, PR1MA membuka peluang niaga kepada usahawan kecil dan sederhana dalam kalangan penduduk setempat, sekali gus merancakkan aktiviti sosioekonomi dan memberi nilai tambah kepada komuniti PR1MA di seluruh negara," katanya. 

Antara pengisian lain program PR1MA Komuniti+ ialah sesi perkongsian maklumat mengenai kempen diskaun sehingga 25 peratus menerusi 'Rumah PR1MA Kita' yang sedang berlangsung hingga 31 Dis 2025, 'PR1MA Referral Program', promosi peranti rumah pintar dan taklimat proses perundangan perumahan Memorandum of Transfer (MOT).

PR1MA Komuniti+ turut melibatkan pameran pelbagai agensi kerajaan, institusi kewangan dan firma guaman selain jualan makanan yang diusahakan sendiri oleh komuniti residensi terlibat serta pelbagai aktiviti santai seperti permainan karnival, petting zoo, pertandingan mewarna kanak-kanak dan e-sukan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan