MELAKA, 2 Okt (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 akan berlangsung di Politeknik Merlimau, Jasin yang merupakan lokasi penutup untuk siri tahun ini, dari 17 hingga 19 Okt.
Sekretariat Program MADANI Rakyat 2025 memaklumkan program berskala nasional itu inisiatif Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) selaku sekretariat induk, dengan kerjasama strategik Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan kerajaan Melaka selaku penganjur bersama.
PMR 2025 edisi Melaka mengangkat tema “Aspirasi MADANI, Menjamin Pertahanan dan Kedaulatan Negara” dan menegaskan komitmen mempertahankan tanah air melalui prinsip Pertahanan Menyeluruh (Hanruh), Pertahanan Bersama dan pendekatan Whole of Government, Whole of Society.
“Prinsip ini bukan sahaja tertumpu kepada aspek ketenteraan, tetapi juga kesejahteraan, daya tahan dan solidariti rakyat berlandaskan enam teras Malaysia MADANI,” menurut sekretariat program menerusi kenyataan hari ini.
Pemilihan Melaka mengambil kira reputasi selaku destinasi pelancongan bertaraf dunia yang terkenal dengan warisan dan budaya, selain turut menonjol sebagai negeri yang progresif melalui kekayaan inovasi, kemajuan teknologi serta penekanan terhadap kesejahteraan rakyat seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI.
“Sebagai lokasi penutup siri PMR 2025, edisi Melaka bakal tampil dengan pengisian lebih segar, inklusif dan bersasar yang memberi fokus kepada keperluan komuniti setempat,” menurut kenyataan itu.
Antara tarikan utama program ialah reruai perkhidmatan kerajaan Persekutuan dan negeri, inisiatif kesejahteraan komuniti, Jualan MADANI, tawaran diskaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan perkhidmatan kesihatan percuma.
Selain itu, turut diadakan ialah tawaran peluang pekerjaan, program pertukaran topi keledar percuma oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pameran ketenteraan, pertunjukan payung terjun, konsert barisan artis popular, kenduri rakyat dan zoo haiwan jinak (petting zoo).
Selain sebagai platform penyampaian perkhidmatan, PMR 2025 Melaka turut menjadi wadah kebersamaan yang merapatkan hubungan erat antara rakyat dan kerajaan.
Penganjuran di Melaka juga menandakan penutup siri PMR 2025 yang telah menyantuni lebih sejuta rakyat di seluruh negara, sekali gus menjadi manifestasi komitmen kerajaan membawa perkhidmatan terus ke pintu rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan PMR 2025 edisi Melaka pada 19 Okt yang akan turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi kerajaan Persekutuan dan negeri.
Orang ramai dijemput hadir memanfaatkan pelbagai perkhidmatan ditawarkan dan menyertai aktiviti menarik sepanjang program yang berlangsung dari 9 pagi hingga 11 malam pada Jumaat dan Sabtu manakala 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial