AM

GSF: Aktivis Dipaksa Berlutut, Digari Selama Lima Jam - KP SNCC

04/10/2025 03:39 PM

SEPANG, 4 Okt (Bernama) -- Kumpulan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan tentera rejim zionis Israel dilaporkan dipaksa berlutut dengan tangan diikat menggunakan tali zip plastik selama kira-kira lima jam selepas sebahagian mereka melaungkan slogan “Free Palestine.”

Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim berkata peserta juga dinafikan akses asas termasuk air, tandas, ubat-ubatan serta hak bertemu peguam.

“Barisan peguam GSF bersama organisasi hak asasi seperti ADALAH di Israel telah berhubung dengan 20 daripada 23 aktivis Malaysia yang ditahan manakala tiga lagi akan diuruskan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua aktivis dinasihatkan menandatangani borang “Request for Immediate Departure” bagi membolehkan mereka dilepaskan sebagai tahanan Israel.

Sani Araby turut mengesahkan barangan bantuan kemanusiaan yang dibawa GSF termasuk beras, susu formula, air bersih dan ubat-ubatan masih berada di atas kapal yang dipintas tentera Israel.

Beliau berkata SNCC bersama kerajaan kini berada dalam keadaan siap siaga untuk membawa pulang semua 23 delegasi Malaysia sebaik sahaja menerima isyarat daripada kerajaan Turkiye yang bertindak sebagai penghubung utama dalam rundingan diplomatik dengan Israel.

“SNCC menggesa rakyat Malaysia meneruskan sokongan kepada delegasi flotila ini dan melaksanakan solat hajat serta doa Qunut Nazilah supaya koridor kemanusiaan ke Gaza dapat dibuka,” katanya.

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia, belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan