WASHINGTON, 5 Okt (Bernama-dpa) -- Gabenor Illinois menuduh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berhasrat mengambil alih kawalan terhadap 300 anggota Pengawal Kebangsaan Illinois untuk dikerahkan ke Chicago, sekali gus mencetuskan pertikaian berlarutan berhubung campur tangan persekutuan di bandar itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Gabenor JB Pritzker dalam catatan di platform media sosial X pada Sabtu berkata Pentagon telah memberikannya kata dua - sama ada beliau mengarahkan sendiri pasukan itu bertugas atau Washington akan berbuat demikian.
“Adalah sesuatu yang amat keterlaluan dan tidak berperlembagaan untuk memaksa seorang gabenor menghantar tentera dalam sempadan negeri kami dan bertentangan dengan kehendak kami,” tulisnya tanpa menghuraikan lanjut mengenai kata dua itu.
Rumah Putih dan Pentagon belum mengulas perkara itu.
“Saya ingin jelaskan: tidak ada keperluan untuk pasukan tentera berada di Negeri Illinois,” kata Pritzker sambil menambah: “Saya tidak akan memanggil Pengawal Kebangsaan kami untuk meneruskan tindakan agresif Trump terhadap rakyat kami.”
Trump berulang kali mendesak agar Pengawal Kebangsaan dikerahkan ke Chicago dengan alasan kadar jenayah yang semakin meningkat. Pritzker daripada Parti Demokrat menolak rancangan itu dan berpihak kepada kepimpinan bandar berkenaan, menuduh presiden cuba menakut-nakutkan lawan politiknya.
Di AS, gabenor lazimnya mengawal Pengawal Kebangsaan di negeri masing-masing, namun presiden boleh mengambil alih kawalan semasa perang atau darurat kebangsaan. Pengawal Kebangsaan, unit simpanan tentera yang menjadi sebahagian daripada angkatan tentera AS.
Trump sebelum ini telah mengarahkan penugasan Pengawal Kebangsaan termasuk di Los Angeles bagi menangani bantahan terhadap serbuan penguatkuasaan imigresen, serta di ibu negara Washington bagi menangani apa yang disifatkannya sebagai peningkatan kadar jenayah. Beberapa tindakan itu kini berdepan cabaran undang-undang.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial