NEW YORK, 5 Okt (Bernama-QNA) -- Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA) pada Sabtu menyeru agar sekatan Israel ke atas Semenanjung Gaza ditarik balik, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).
Agensi itu turut menuntut supaya kakitangan antarabangsa dibenarkan masuk bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin dan menangani krisis kemanusiaan dan kebuluran yang dahsyat di enklaf itu.
Ketua Pesuruhjaya UNRWA Philippe Lazzarini dalam hantaran di platform X berkata terdapat momentum yang dialu-alukan dan jarang berlaku untuk mencapai gencatan senjata kekal di Gaza serta membuka jalan ke arah penyelesaian jangka panjang bagi menamatkan konflik berdekad lamanya di wilayah Palestin yang bergolak itu.
Beliau menegaskan bahawa perkembangan tersebut membawa sinar harapan dan membolehkan UNRWA segera bertindak menangani kebuluran serta penderitaan lebih dua juta penduduk yang berdepan keperluan kemanusiaan amat kritikal.
Pasukan pendudukan Israel terus melancarkan serangan besar-besaran terhadap rakyat Palestin di Gaza, yang mengorbankan 67,074 nyawa dan mencederakan 169,430 orang, di tengah-tengah keadaan kemanusiaan yang amat genting akibat sekatan Israel ke atas wilayah itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial