JERTEH, 4 Okt (Bernama) -- Polis Terengganu dan agensi keselamatan berkaitan telah bersiap siaga untuk menghadapi musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November, kata Ketua Polis negeri Datuk Mohd Khairi Khairudin.
Beliau berkata lebih 2,000 anggota polis dan agensi keselamatan termasuk bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta tentera sedia digerakkan ke kawasan terjejas banjir bagi memastikan keselamatan penduduk.
“Kita sentiasa bersedia dan akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk menyelaraskan atau mengemas kini persiapan serta kelengkapan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kampung Angkat Aman Wanita (AMANITA) di Taman Persiaran Limbongan, di sini hari ini.
Mohd Khairi berkata agensi penyelamat di setiap daerah telah mengadakan program Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) yang juga merangkumi aspek penyelamatan dan pengendalian bot.
Program itu bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan untuk menghadapi banjir supaya dapat segera memindahkan mangsa ke pusat pemindahan sementara.
Dalam perkembangan lain, Mohd Khairi berkata kawasan terlibat kebocoran paip gas butana di Kerteh, Kemaman bulan lepas masih ditutup kepada orang awam kerana Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Saya juga dimaklumkan Petronas akan menjalankan kerja pembaikan paip. Polis masih berada di lokasi kerana tidak mahu sesiapa tidak berkaitan di situ,” katanya dan memaklumkan pihaknya tidak mengesan sebarang unsur khianat dalam insiden itu.
Sebelum ini, polis mengisytiharkan kawasan Petronas Gas Bhd di Tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5, Kerteh dekat Kemaman yang mengalami kebocoran paip gas butana pada 20 Sept selamat dan bebas daripada pencemaran.
Bagaimanapun, polis tetap menempatkan anggota di lokasi 24 jam sehari untuk membantu JKKP melakukan siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial