TAIPING, 4 Okt (Bernama) -- Projek tebatan banjir di kawasan utara Perak yang melibatkan pelaksanaan pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) memerlukan tambahan peruntukan kira-kira RM400 juta, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata projek berkenaan yang dibangunkan oleh pihak swasta melalui Sime Darby, berdepan cabaran berikutan kawasan itu mempunyai tanah lembut dan terletak di kawasan rendah yang sering berdepan risiko banjir.
“Jadi mereka (pihak pemaju) mencadangkan membina benteng supaya air sungai tidak melimpah, tetapi apabila kita membuat kajian keseluruhan, ia hanya dapat menyelesaikan sebahagian sahaja tempat, tidak menyeluruh.
"Sebab itu, hasil daripada bengkel yang dilaksanakan, lebih sesuai projek ini digabungkan. Antara projek yang kita cadangkan juga untuk rancangan tebatan banjir, iaitu di Sungai Samagagah (Pulau Pinang) dan kita combine dengan apa yang berlaku di KIGIP itu," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Fadillah berkata jika projek itu dapat digabungkan, ia dapat disesuaikan dengan kawasan liputan untuk tebatan banjir yang lebih besar melibatkan keseluruhan kawasan bahagian utara Perak, iaitu di Kerian dan juga kawasan sekitar.
Berkenaan status projek itu, beliau berkata projek berkenaan sedang berjalan namun pihaknya menunggu peruntukan yang telah dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi untuk tambahan peruntukan dan akan dapat ditentukan dalam Rancangan Malaysia Ke-13.
"Maknanya kita tunggu bajet yang akan datang ini diluluskan dan sebagainya, baharu kita akan dapat ketentuan. Kalau tidak pun kita akan laksanakan mungkin secara berperingkat dengan projek yang sedang ada itu," katanya.
Terdahulu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia Tahun 2025 Peringkat Kebangsaan di Sungai Batu Tegoh di sini.
Selain itu, berkenaan projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah, beliau berkata projek itu dijangka dilaksanakan tahun depan.
"Kelulusan pada peringkat kabinet sudah dapat, sekarang ini Kementerian Kewangan sedang memuktamadkan kaedahnya sebab ia ada melibatkan dana dari luar negara," katanya.
Berkenaan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Taiping yang dilawatinya malam tadi, beliau akan menerima laporan penuh daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang sentiasa memantau keadaan banjir di kawasan terjejas.
"Sudah pasti hujan yang begitu lebat dan berterusan itu menjadi antara punca, tetapi mengapa ada sesetengah tempat yang belum pernah banjir, termasuk balai polis yang belum pernah tenggelam, tiba-tiba semalam kita boleh melihat sendiri ia juga dimasuki air. Jadi itu yang kita nak lihat puncanya," katanya.
Terdahulu, Perak dilanda banjir berikutan hujan lebat membabitkan daerah Larut, Matang dan Selama apabila empat PPS dibuka di Taiping melibatkan 202 mangsa daripada 65 keluarga, malam tadi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial