KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tuduhan Israel melabelkan aktivis misi Global Sumud Flotilla (GSF) sebagai pengganas adalah kenyataan yang biadab.
Beliau menegaskan bahawa pelayaran GSF ke Gaza adalah misi kemanusiaan bagi membantu penduduk Palestin yang ditindas rejim Zionis, yang hakikatnya adalah pengganas sebenar.
“Suaranya daripada siapa? Daripada terrorist Israel, terrorist besar. Mereka (GSF) tidak membawa senjata, tidak membunuh orang.
“Mereka membawa makanan, minuman dan ubat-ubatan. Bagaimana GSF boleh dipanggil terrorist? Ini satu kenyataan yang biadab,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Khadijah, Jalan Pantai Sentral 2, di Lembah Pantai, di sini hari ini.
Anwar berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Keselamatan Israel Itamar Ben-Gvir, yang menuduh aktivis misi GSF yang kini ditahan rejim itu sebagai pengganas menerusi satu rakaman video.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata beliau dimaklumkan bahawa sukarelawan Malaysia dalam misi GSF tetap bersemangat kental biarpun kini berada dalam tahanan pihak Israel.
Beliau menegaskan bahawa para sukarelawan berkenaan telah memberi sumbangan besar dalam mencelikkan masyarakat dunia mengenai kekejaman rejim Zionis.
"Walaupun ada yang menyatakan mereka tidak sampai ke Gaza, harus difahami bahawa mereka sedang berdepan dengan rejim penjajah yang ganas.
"Apa yang mereka lalui ini membuka mata ratusan juta rakyat dunia. Mereka berkorban, menempuh ombak di lautan, berdepan ketidakpastian keselamatan, malah semua telefon mereka dicampakkan ke laut," kata Perdana Menteri.
Semalam, Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby mengesahkan 23 aktivis Malaysia ditahan tentera Israel selepas komunikasi terputus serta visual menunjukkan penahanan mereka.
Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).
Selain itu, Razali Awang (kapal Inana); pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy)
GSF disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel.
Misi kemanusiaan itu mendapat perhatian dunia apabila turut disertai tokoh antarabangsa termasuk aktivis iklim Greta Thunberg, pelakon Hollywood Susan Sarandon serta cucu Nelson Mandela Mandla Mandela.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial