PUTRAJAYA, 3 Okt (Bernama) -- Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) akan meneliti setiap resolusi yang dibentangkan dalam Konvensyen Pembaharuan Semula Bandar (URA) anjuran UMNO, termasuk cadangan penambahbaikan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB).
Ketua Pengarah PLANMalaysia Datuk Dr Alias Rameli berkata langkah itu selaras dengan mandat agensi tersebut sebagai perancang pembangunan negara, dengan memastikan cadangan yang dikemukakan seiring dengan prinsip perancangan bandar dan desa yang mampan, inklusif dan adil kepada semua pihak.
“PLANMalaysia menyambut baik resolusi Konvensyen URA kerana ia bertepatan dengan usaha kerajaan memperkukuh agenda pembaharuan semula bandar.
“PLANMalaysia komited memastikan setiap cadangan diteliti agar selaras dengan dasar sedia ada serta memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Konvensyen URA yang dianjurkan UMNO baru-baru ini menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan bagi membincangkan isu pembangunan semula bandar termasuk aspek undang-undang, sosioekonomi serta kesejahteraan penduduk yang terlibat.
Resolusi berkenaan antara lain menzahirkan komitmen UMNO dalam mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi rakyat, khususnya berkaitan isu pembaharuan semula bandar dan kesejahteraan masyarakat bandar.
PLANMalaysia, dalam kenyataan sama memaklumkan, input dan resolusi yang dicetuskan menerusi konvensyen itu akan dijadikan rujukan penting dalam proses penggubalan dasar serta pewujudan rangka kerja perundangan baharu yang lebih efektif.
PLANMalaysia menegaskan, inisiatif pembaharuan semula bandar tidak boleh hanya didorong oleh keuntungan pihak tertentu sebaliknya perlu berteraskan kesejahteraan rakyat serta keseimbangan antara kepentingan pemilik tanah, komuniti setempat dan pembangunan negara secara menyeluruh.
“Proses libat urus dengan semua pihak berkepentingan akan terus diutamakan bagi memastikan RUU PSB yang digubal adalah menyeluruh, adil dan berkesan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan, PLANMalaysia juga yakin kolaborasi erat antara kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pemaju, masyarakat sivil, institusi akademik serta parti politik adalah kunci kepada pembangunan bandar yang lebih teratur dan mampan.
“Dalam konteks ini, Konvensyen URA menjadi wadah penting untuk membina kefahaman bersama dan merumuskan penyelesaian praktikal demi kepentingan rakyat dan negara,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, PLANMalaysia merakamkan penghargaan terhadap inisiatif UMNO menganjurkan konvensyen berkenaan serta menegaskan komitmen untuk mengkaji dan mempertimbangkan resolusi yang dibentangkan demi memperkukuh agenda pembaharuan semula bandar yang lebih tersusun, seimbang dan mampan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial