EKONOMI

Lebih Ramai Rakyat Perlu Nikmati Manfaat Pertumbuhan Ekonomi, Literasi Kewangan - Anwar

03/10/2025 06:49 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan mahu lebih ramai rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi serta literasi kewangan dan bukan hanya kelompok kecil dalam masyarakat terutamanya golongan elit. 

Beliau berkata tahap celik kewangan amat penting untuk memperkukuh daya tahan rakyat dalam menghadapi cabaran ekonomi, sekali gus mengelakkan mereka mudah terjebak dalam skim pelaburan atau penipuan kewangan.

"Kadar pertumbuhan ekonomi negara segar dan vibrancy (kukuh), dari sisi kewangan seluruhnya itu lebih meyakinkan. Kita tidak mahu ini hanya dimanfaatkan oleh kelompok yang kecil, golongan elit dari sudut kuasa atau kewangan. 

"Kita mahu melebarkan, merentas semua kaum, masuk golongan yang lebih miskin atau sederhana dan bagaimana harus kita jayakan adalah dengan memberi kefahaman (dari segi kewangan)," kata beliau.

Anwar berkata demikian menerusi ucapan beliau pada majlis pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan Malaysia 2026-2030 dan Bulan Literasi Kewangan 2025, di sini, hari ini. 

Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Datuk Mohammad Faiz Azmi. 

Perdana Menteri turut melancarkan Program Jelajah “Skuad Celik Kewangan” yang menampilkan kenderaan perkhidmatan bergerak dikendalikan oleh ahli-ahli Jaringan Pendidikan Kewangan. 

Anwar turut mengingatkan keperluan untuk terus mengasah pemikiran kritis dalam literasi kewangan bagi mengelak terdedah kepada risiko kerugian serta manipulasi. 

Oleh itu, kata beliau, pendidikan kewangan harus bermula daripada peringkat sekolah hingga ke masyarakat umum dengan penglibatan aktif institusi kewangan.

“Bank yang ada cawangan di seluruh negara, patut ada juga usaha untuk dekati sekolah berdekatan, masjid berdekatan, masyarakat berdekatan untuk memberikan sedikit kefahaman dan pendidikan,” kata Anwar. 

Beliau berkata literasi kewangan perlu dijadikan sebagai sebahagian daripada budaya masyarakat, selaras dengan matlamat membina masyarakat madani yang inklusif.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan