LABUAN, 3 Okt (Bernama) -- Jabatan Imigresen Labuan menahan 15 warga asing yang tidak mempunyai dokumen yang sah dalam satu operasi penguatkuasaan awal pagi ini, di beberapa penempatan di pulau bebas cukai tersebut.
Operasi oleh Unit Aduan Perisikan dan Operasi Bahagian Penguatkuasaan JIM, memeriksa 38 individu sebelum menahan 15 orang atas pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
Pengarah Jabatan Imigresen Labuan Raymond Entalai berkata mereka yang ditahan terdiri daripada empat lelaki, tiga wanita, tujuh kanak-kanak lelaki dan perempuan warganegara Filipina, serta seorang lelaki warganegara Indonesia, berusia antara satu hingga 39 tahun.
“Kesemua mereka dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Labuan untuk dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata pihaknya akan melakukan operasi secara berterusan bagi mencari warga asing yang melanggar undang-undang negara, termasuk di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan Imigresen 1963, dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji atau menempatkan pendatang haram,” katanya.
Orang ramai boleh menyalurkan maklumat mengenai warga asing tanpa dokumen yang sah menerusi talian 087-421 296, Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di https://imi.spab.gov.my/eApps/system/index.do atau emel pro_labuan@imi.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial