AM

GSF: Aktivis Malaysia Kongsi Detik Cemas Sebelum Ditahan Tentera Israel

02/10/2025 11:55 AM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Beberapa aktivis Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) sempat merakam dan berkongsi video detik cemas semasa kapal mereka dipintas tentera Israel.

Pempengaruh Nurfarahin Romli, 32, yang lebih dikenali sebagai Farah Lee, menghantar mesej suara menceritakan saat genting ketika kapal Grande Blu yang dinaikinya diserang dengan meriam air tekanan tinggi.

"Mula-mula mereka (tentera Israel) sembur sedikit dan beri amaran supaya kapal kami berhenti tetapi kami teruskan sebab misi kami menuju ke Gaza. Akhirnya mereka (tentera Israel) sembur air sangat kuat dan kami semua terpelanting," katanya.

Beliau berkata demikian dalam rakaman suara yang dimuat naik menerusi laman Instagramnya berserta video menunjukkan beliau sedang mengangkat tangan, dipercayai sewaktu diarah oleh tentera Israel.

Dalam satu lagi hantaran berasingan, Farah Lee turut memaklumkan tentera Israel memberi amaran keras agar kapal mereka berpatah balik atau belayar ke Israel, jika tidak mahu berdepan tindakan lebih agresif.

Farah Lee antara seorang daripada 12 peserta Malaysia yang diaporkan ditahan oleh tentera Israel semasa dalam misi pelayaran ke Gaza setakat 7.50 pagi.

Turut ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); serta Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius). 

Sementara itu, lima lagi rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) iaitu pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin (Ardell Aryana) yang menaiki kapal Mikeno serta PU Rahmat, Norhelmi, Mohd Asmawi dan Norazman di atas kapal Estrella.

Ardell Aryana yang sempat membuat penstriman langsung melalui TikTok sebelum terputus hubungan, memaklumkan kapal yang dinaikinya diserang oleh tentera Israel menyebabkan layar belakang patah, selain disembur dengan meriam air.

Beliau berkata walaupun peserta GSF dalam kapal itu telah mengangkat tangan, tentera Israel tetap melakukan semburan meriam air tanpa belas kasihan.

"Saya tidak pasti apa yang terjadi kepada rakan-rakan yang lain. Jadi tolong record (rakam) (isyarat kecemasan) SOS dan buktikan kepada dunia bahawa Israel telah melanggar undang-undang.

"Semua dalam kapal saya adalah orang awam yang berbeza negara dengan muatan susu dan air bersih untuk saudara kita di Gaza," katanya dengan wajah yang kelihatan cemas.

Heliza pula sempat merakam detik sebelum kapal mereka disembur dengan meriam air, dengan kapten kapal yang dinaikinya meminta peserta misi bersedia untuk sebarang kemungkinan.

"Sebenarnya kami mahu berada di atas (kapal) sebab inilah rakaman yang akan menjadi saksi dalam mahkamah nanti tetapi dia (kapten) risau keadaan kami dan minta kami turun ke bawah," katanya sebelum terputus hubungan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan