PELABUHAN KLANG, 3 Okt (Bernama) -- Aset Pasukan Polis Marin perlu diperkasakan dalam memastikan kesiapsiagaan pengoperasian yang tinggi khususnya bagi membanteras jenayah penyeludupan di perairan negara.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata antara aset diperlukan ialah bot berteknologi tinggi supaya pasukan itu mampu menjalankan tugasan di kawasan persisiran pantai dan sungai dengan lebih berkesan.
Beliau berkata ia susulan modus operandi penjenayah yang berubah-ubah sekali gus memerlukan kesediaan yang tinggi daripada Pasukan Polis Marin supaya tiada aktiviti haram terlepas daripada pengawasan dan tindakan yang bersesuaian.
"Pasukan Polis Marin satu daripada kekuatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan kita tidak boleh nafikan kewujudannya yang menambah keberkesanan dan keberhasilan penyampaian perkhidmatan PDRM. Kejayaan pasukan ini juga boleh dilihat menerusi nilai rampasan lebih RM400 juta pada sembilan bulan pertama tahun ini.
"Jadi saya berharap kerajaan akan memberi sepenuh perhatian terhadap permintaan yang telah diangkat pasukan polis marin untuk meningkatkan wibawa dan kompetensi mereka untuk menjalankan tugas yang pastinya dapat membantu menghalang sebarang ketirisan berlaku ke atas apa jua pendapatan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Peringatan Hari Ulang Tahun ke-78 Pasukan Polis Marin di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah (1) di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Azmi berkata secara keseluruhan nilai rampasan dibuat JKDNKA telah melangkaui lebih RM6 bilion, dengan rampasan tertinggi melibatkan sisa elektronik berjumlah RM4 bilion.
Beliau berkata Jabatan Alam Sekitar hanya mengeluarkan 156 lesen kepada syarikat-syarikat tertentu untuk menguruskan sisa elektronik domestik dan bukan yang dibawa masuk dari luar negara.
"Namun, perkara ini berlaku dan pihak polis telah mengambil inisiatif dan langkah-langkah yang saya kira agak baik untuk mengekang daripada kemasukan e-waste ini.
"Kita akan terus memastikan undang-undang dalam negara terus dikuat kuasa, diperketat dan dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat dalam apa juga peniagaan mereka," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial