SHAH ALAM, 1 Okt (Bernama) -- Pusat borong terbesar di Malaysia GM Klang melanjutkan waktu operasi dari 10 pagi hingga 10 malam setiap hari bermula 1 Nov sebagai tanda penghargaan kepada sokongan pelanggan setia sejak penubuhannya 16 tahun lepas.
Pengurus Kanan Komunikasi Jenama GM Klang Norsuhaida Othman berkata penambahan waktu itu menawarkan lebih peluang untuk pelanggan membeli-belah, menjamu selera dan menikmati pelbagai pengalaman baharu yang lebih santai, fleksibel dan menyeronokkan dari pagi hingga ke malam.
Beliau berkata GM Klang juga akan menganjurkan acara istimewa pada 1 Nov bertemakan “Ceritera Selangor” dengan pengisian seperti persembahan seni budaya pelbagai kaum, peragaan busana tradisional serta deretan sajian popular dan tular menerusi Festival Makanan Rasa Fusion Food 3.0.
“Acara ini bukan sahaja simbolik kepada permulaan waktu operasi baharu, malah menandakan permulaan lembaran baharu yang lebih segar, mesra keluarga dan penuh kemeriahan di GM Klang.
“Waktu malam kini akan menjadi nadi baharu yang menghidupkan GM Klang dengan lebih inklusif. Bukan sekadar masa tambahan untuk membeli-belah, tetapi masa untuk komuniti berhimpun, berhibur dan mencipta kenangan istimewa dengan rakan dan keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa ini, waktu operasi pusat beli-belah itu ialah dari 10 pagi hingga 7 malam kecuali pada hujung minggu dan cuti umum yang dilanjutkan hingga 8 malam.
Norsuhaida berkata antara pengisian dirancang sempena waktu operasi baharu ialah Night Crazy Deals, promosi eksklusif harian bermula 7 malam dan Monthly Lucky Night Draw: Shop & Win at GM Klang yang menawarkan hadiah utama seperti motosikal dan televisyen pintar serta siri mingguan “Rioooh Malam Sabtu”.
“Ini bakal menceriakan hujung minggu pengunjung dengan pelbagai tema berbeza. Langkah strategik ini turut menyokong usaha GM Klang ke arah menjadi hab perdagangan, pelancongan dan komuniti yang progresif menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Beliau berkata orang ramai boleh melayari www.gmklang.com atau laman sosial rasmi GM Klang untuk mendapatkan maklumat lanjut aktiviti mingguan dan senarai promosi terkini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial